Jumaat, 19 Oktober 2018

Saya ada bukti - Deepak cabar Najib, Rosmah lawan di mahkamah

 
   
Peniaga permaidani, Deepak Jaikishian mencabar Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor untuk berdepan dengannya di mahkamah dan bukannya mengarahkan peguam mereka untuk membatalkan samannya.

Mendakwa mempunyai bukti yang mencukupi termasuk rakaman audio dan visual berkaitan dengan dua saman yang difailkannya terhadap pasangan itu, beliau mendedahkan rancangannya untuk memfailkan lebih banyak saman terhadap Najib dalam beberapa minggu akan datang.

"Sila arah peguam kamu (Najib dan Rosmah) supaya tidak memohon untuk membatalkan saman itu.

"Mari kita lawan di mahkamah memandangkan kedua-dua kamu (Najib dan Rosmah) kini kerap melawat mahkamah," katanya kepada Malaysiakini.

Deepak mengulas laporan FMT, yang memetik Najib sebagai berkata bahawa Rosmah dan beliau telah mengarahkan peguam mereka untuk mencabar samannya.

Peniaga itu menuduh pasangan berkenaan menyebabkan beliau kehilangan tanah berjumlah jutaan ringgit serta memaksa beliau mengambil pinjaman berjumlah RM200 juta.

Gagal membayar pinjamannya, Deepak mendakwa bahawa beliau terpaksa menjual beberapa unit kondominium pada harga yang lebih rendah.

Walau bagaimanapun, Najib menyifatkan tuduhan itu sebagai "rekayasa yang tidak berasas".

Menurut Najib dakwaan itu langsung tidak masuk akal dan akan berusaha untuk membatalkannya.

Adalah dilaporkan bahawa Deepak telah memfailkan dua saman. Pertama, melibatkan perjanjian tanah bernilai RM676 juta di Bukit Raja yang kononnya untuk pembinaan Pusat Pengajian Pertahanan Negara.

Saman kedua ke atas lima orang membabitkan sejumlah RM52.6 juta, yang mana RM20 juta melibatkan Najib dan Rosmah.

Sementara itu, Deepak juga mencabar Najib dan Rosmah untuk "mengembalikan RM100 bilion" yang didakwanya "dicuri" daripada negara ini.

"Saya akan menarik balik saman itu (terhadap pasangan itu) sebagai sebahagian daripada khidmat saya kepada negara jika mereka kembali RM100 bilion," katanya.

Tiada ulasan: