Sabtu, 20 Oktober 2018

'Berapa tanah runtuh perlu berlaku baru k'jaan negeri bertindak?'

NALAYSIAKINI

   

Pengerusi MCA Pulau Pinang Datuk Tan Teik Cheng mengecam kerajaan negeri itu kerana menurutnya tidak menghiraukan amaran berhubung kesan buruk pembangunan melampau di lereng bukit.

Beliau bertanya berapa banyak lagi tanah runtuh yang perlu dihadapi sebelum kerajaan mula menangani isu tersebut.

"Saya amat kecewa dengan tanah runtuh yang berlaku semalam...kerajaan Pulau Pinang patut mengambil teladan daripada tragedi sebelum ini tetapi tidak berbuat demikian.

"Berapa banyak lagi tanah runtuh yang perlu berlaku dan meragut nyawa sebelum kerajaan negeri bangun dan tangani masalah pembangunan melampau, dan mengambil tindakan yang lebih berjaga-jaga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tan (gambar) mendakwa kerajaan negeri bersikap angkuh dan mengabaikan amaran masyarakat sivil.




Tanah runtuh yang berlaku di tapak pembinaan di Paya Terubong semalam telah meragut tiga nyawa, sementara sepuluh lagi belum ditemui.

Ia berlaku hampir setahun selepas tanah runtuh, juga di tapak pembinaan, di Tanjung Bungah yanag meragut 11 nyawa.

Sementara itu Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata pihaknya terkejut dan marah dan tragedi yang berulang itu.

"CAP menggesa kerajaan negeri untuk menghentikan semua kerja di projek pembinaan lereng bukit sehingga pemeriksaan keselamatan dan alam sekitar dilakukan bagi menjamin semua kaedah berjaga-jaga telah diambil, untuk mengelak ia berulang lagi.

"Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak boleh mendakwa ia sebagai tak dapat dielakkan kerana hujan kerana anda tidak perlu jadi pakar untuk tahu bahawa jika anda biarkan lereng tanpa langkah perlindungan dan penstabilan, ia akan membawa kepada tanah runtuh.

"Jelas, pihak berkuasa tidak belajar daripada tragedi mutakhir yang berlaku, termasuk di Tanjung Bungah hanya setahun lalu," kata presidennya SM Mohamed Idris dalam kenyataan.


Tiada ulasan: