Ada 21,000 kawasan mudah berlaku tanah runtuh di seluruh negara
KUALA LUMPUR
– Polis DiRaja Malaysia (PDRM) disaran menubuhkan jabatan khas untuk
membanteras jenayah berkaitan alam sekitar, khususnya membabitkan
kecurian dan kemusnahan alam di seluruh negara.
Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan
Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, walaupun ada
antara kesalahan dilakukan terletak di bawah bidang kuasa agensi lain,
namun peranan polis mampu membantu mengekang aktiviti jenayah berkenaan
yang semakin menjadi-jadi.
“Penglibatan aktif dan agresif pihak
polis dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan lain mampu
membantu kerajaan menangani isu berkaitan pada masa akan datang termasuk
membanteras sindiket yang terlibat dalam pemburuan haram, kecurian
balak dan kayu gaharu serta penerokaan tanah haram,” katanya dalam satu
kenyataan di sini, hari ini.
Lee berkata, aspek penguatkuasaan bersama
polis dan agensi berkaitan juga akan dapat membantu mengatasi
pembangunan tidak terkawal di kawasan cerun yang menjadi penyebab utama
kejadian tanah runtuh yang sering dilaporkan sejak kebelakangan ini.
Kajian Universiti Teknologi Malaysia
mendapati, terdapat 21,000 ‘hotspots’ atau kawasan yang mudah berlaku
tanah runtuh di seluruh negara dan 16,000 daripada jumlah itu berada di
Semenanjung Malaysia.
“Selain aktiviti pembangunan, penerokaan
tanah tidak terkawal juga menjadi antara punca beberapa kejadian tanah
runtuh yang turut mengakibatkan kehilangan nyawa,” katanya.
Beliau berkata, langkah pencegahan
jenayah alam sekitar oleh pihak polis juga adalah selaras dengan
tindakan tegas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangani
jenayah alam sekitar yang turut dikaitkan dengan isu integriti dan
amalan rasuah yang berleluasa.
“Dilaporkan, jenayah alam sekitar ini
menjadi lebih buruk dengan pembabitan agensi yang sepatutnya
dipertanggungjawabkan memelihara kesejahteraan alam sekitar namun
bertindak sebagai tali barut demi kepentingan wang,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan