Diyana Ibrahim, Astro Awani
KUALA LUMPUR: PKR akan siasat dakwaan naib presidennya Rafizi Ramli berhubung politik yang berlaku dalam parti, kata presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Kita akan siasat," katanya ringkas kepada media di lobi Parlimen hari ini.
Terdahulu Rafizi mendakwa politik wang dilihat semakin membimbangkan pada musim pemilihan parti PKR dan menyeru anggota parti agar menolak calon- calon yang mengamalkan budaya tersebut.
BACA: Politik wang semakin membimbangkan - Rafizi
Katanya, anggota parti perlu memilih calon yang berlaku adil, berkhidmat dan berjuang untuk rakyat di akar umbi.
Rafizi berkata antara sebab utama beliau mengambil keputusan bertanding jawatan timbalan presiden parti adalah kerana untuk membendung budaya politik wang daripada terus merebak dalam PKR.
Rafizi berdepan dengan penyandang jawatan itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di mana keputusan awal yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Khamis lalu menunjukkan persaingan sengit antara mereka.
Keputusan menunjukkan Azmin mendapat 19,584 undi dan Rafizi kurang satu undi 19,583.
Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri mengulas mengenai isu remaja perempuan berusia 18 tahun di Kelantan yang meninggal dunia dalam tandas rumahnya selepas melahirkan anak.
Dr Wan Azizah berkata kementeriannya masih lagi mengumpul maklumat mengenai perkara itu sambil menyeru orang ramai untuk tampil memohon bantuan jika berdepan dengan masalah sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan