Selasa, 16 Oktober 2018

Nasrudin buktikan diri jadi encik suami mithali

MALAYSIAKINI

   

Seorang lagi tokoh politik yang garang menunjukkan sisi lain - yang lebih lembut - dalam diri mereka dengan berada di dapur.

Kali ini tokoh tersebut ialah Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan.

Sebelum ini gambar Menteri Pertahanan Mohamad Sabu pernah tular apabila aksinya di dapur dengan berbaju oren bersama apron Parti Amanah Negara (AMANAH).

Mohamad ialah bekas timbalan presiden PAS yang dikenali dengan sikap garang semasa berceramah namun menubuhkan wadah lain selepas beliau dan sejumlah pemimpin lain disingkirkan dalam muktamar parti terbabit pada 2015.

Nasrudin juga tidak kurang garangnya.

Membawa imej sebagai penceramah yang fasih di atas pentas atau mimbar, hari ini beliau memuat naik gambar memasak di dapur rumahnya.

Nasrudin mengenakan baju hijau dan berkain pelekat kelihatan tekun memotong sesuatu.

Skil ada lagi

Gambar itu dikongsinya dalam satu hantaran di akaun Facebook peribadinya dengan kapsyen "jadi encik suami mithali".

Menurut Nasrudin, dia berada di dapur kerana isterinya baru selesai menjalani pembedahan mata dan perlu mengambil masa secukupnya sebelum boleh bergerak bebas seperti sebelum ini.

Justeru, bekas anggota parlimen Temerloh itu mengambil alih peranan untuk memasak buat keluarga yang sebelum ini digalas isterinya.

Dijangkakan, Nasrudin akan terus memasak untuk isteri dan keluarga untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga minggu lagi bagi memberikan masa yang secukupnya buat isteri tercinta berehat.
 "Huh, lama benar dah tak masuk dapur. Namun alhamdulillah, skill (kemahiran) masih ada insya-Allah walaupun agak skema," katanya.

Nasrudin juga berharap orang ramai mendoakan kesembuhan segera buat isterinya.

Selain Mohamad yang juga presiden AMANAH seorang lagi ahli politik yang gemar memasak ialah anggota parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan.

Malah Ahmad juga menjadi anggota parlimen yang gigih meneruskan aktiviti di dapur kerana beliau tetap dengan kebiasaan itu walaupun selalu dipersenda.

Terbaru Ahmad memuat naik gambar beliau serta hidangan yang disiapkannya di Twitter.

"Ada aku kisah apa engkau orang cakap. Memang hobi aku memasak," ciapnya.


Tiada ulasan: