Timbalan perdana menteri memandang serius jenayah
rasuah di kalangan wanita kerana 453 ditahan bagi membantu siasatan dan
183 didakwa ke mahkamah dari 2012 sehingga Januari lepas.
Timbalan perdana menteri berkata, walaupun tidak mempunyai statistik tepat, namun beliau dimaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jumlah kes bagi 5 tahun sebelum ini menurun berbanding sebelumnya.
“Ini bermakna belia kita semakin terdedah dan memahami masalah dan anomaliti,” katanya selepas menyaksikan penyerahan sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records kepada SPRM bagi penganjuran program “Walk Stop Talk: Six Hours Quarter Million Messages” di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Wilayah, Khalid Abd Samad dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.
Bagaimanapun, Dr Wan Azizah yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat menyuarakan kerisauannya terhadap jumlah pesalah laku belia yang tetap melebih separuh daripada jumlah keseluruhan pesalah rasuah.
Dr Wan Azizah berkata, dari 2013 sehingga Mei lepas, seramai 2,238 orang atau 55.2% pesalah laku rasuah terdiri daripada belia.
“Perkara ini amat membimbangkan kerana golongan ini merupakan pemimpin negara pada masa akan datang.”
Katanya, beliau turut memandang serius jenayah rasuah di kalangan wanita kerana statistik SPRM menunjukkan dari 2012 sehingga Januari lepas, sebanyak 700 kertas siasatan dibuka, 453 ditangkap bagi membantu siasatan rasuah dan 183 dihadapkan ke mahkamah untuk pertuduhan.
Tegasnya, sejarah dunia menunjukkan jenayah rasuah menyebabkan kejatuhan beberapa kerajaan hebat dan Malaysia juga hampir menghadapi situasi sama.
“Bagaimanapun, dengan kekuatan suara keramat, kebangkitan rakyat Malaysia (pada PRU14) mengubah landskap ini.”
Dr Wan Azizah berkata, kini tiba masanya semua rakyat memainkan peranan bersama untuk membina semula negara dan beliau percaya Malaysia baharu di bawah pimpinan Pakatan Harapan akan lebih membangun seiring pembangunan insaniah rakyatnya.
Program “Walk Stop Talk: Six Hours Quarter Million Messages” dianjurkan serentak hari ini di seluruh negara bagi menyebar luas mesej pencegahan rasuah kepada masyarakat umum.
Program anjuran SPRM dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu diadakan bagi mendapatkan suku juta tandatangan masyarakat menentang jenayah rasuah untuk dijadikan penanda aras bagi mendapatkan pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records.
Seramai 1,000 peserta, termasuk pegawai SPRM dan warga pendidik dari 27 kampus IPGM bergerak serentak ke 262 lokasi di seluruh negara mulai 9 pagi sehingga 3 petang untuk bersemuka dengan masyarakat dan mengedarkan 250,000 risalah yang mengandungi maklumat berkaitan anti-rasuah selama 6 jam.
“Inilah penzahiran kehendak hati suara mahasiswa yang ingin mengajak rakyat Malaysia secara keseluruhannya untuk bangkit bersama menolak rasuah dan salah guna kuasa,” kata Dr Wan Azizah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan