ISMA WEB
Anifah Aman tak turut serta keluar dewan bantah pelantikan Speaker
KUALA LUMPUR – “Kita perlu tunjuk contoh yang baik. Sebagai pembangkang yang
berwibawa.”
Demikian ditegaskan Ahli Parlimen Rembau daripada UMNO,
Khairy Jamaluddin, ketika ditanya sebab beliau tidak bersama rakan
pembangkang yang lain keluar dewan membantah cara pelantikan Speaker
Dewan Rakyat, pagi tadi.
Malah,
beliau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata, tindakan keluar
dari dewan bukan contoh baik untuk menghormati majlis pelantikan speaker
dan angkat sumpah wakil rakyat di Parlimen, hari ini.
“Saya nak
menghormati majlis hari ini.. hari ini majlis angkat sumpah … kalau kita
nak buat bantahan pun berkenaan dengan lantikan Yang Dipertua Dewan
Rakyat.. boleh dibuat dengan cara yang lain..
“Boleh
dibuat melalui perbahasan, peraturan dewan, pada hari Rabu tapi bukan
dengan cara kita keluar dewan pada hari ini… kita perlu tunjuk contoh
yang baik… sebagai pembangkang yang berwibawa,” katanya.
Khairy
berpendapat beliau tidak melanggar peraturan dan memahami batas disiplin
sebagai ahli UMNO, malah sekarang ini katanya, UMNO lebih terbuka.
Terdahulu,
semua wakil rakyat pembangkang termasuk PAS, kecuali Khairy dan Ahli
Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman, keluar dewan kerana membantah cara
pelantikan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, yang
didakwa kononnya tidak megikut peraturan mesyuarat.
Sementara
itu, bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berkata, terpulang
kepada UMNO untuk menangani isu Khairy dan Anifah yang tidak turut serta
keluar daripada dewan, sedangkan tindakan itu adalah keputusan parti.
“(Tindakan)
itu adalah keputusan parti. Saya serahkan kepada parti memutuskannya.
Sepatutnya, mereka menjelaskan kenapa mereka tidak melakukannya,”
katanya.
Sementara itu, Anifah berpendapat beliau tidak perlu menyertai rakan-rakan pembangkang yang lain keluar dewan.
“Kita
telah menyatakan bahawa kita tidak setuju dan tidak gembira dengan
pelantikan Speaker Dewan Rakyat hari ini. Saya menghormati pandangan dan
pendirian rakan pembangkang hari ini.
“Bagaimanapun, saya berpendapat adalah tidak perlu untuk saya keluar daripada dewan pagi tadi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan