Bekas duta Malaysia ke Belanda Noor Farida Ariffin berkata ahli politik tidak biasa dengan tugas sebagai diplomat.
Bekas duta Malaysia ke Belanda Datuk Noor Farida Ariffin berkata, ini kerana ahli politik yang dilantik menjadi duta tidak biasa dengan tugas sebagai diplomat.
“Kerana kita mempunyai misi. Apabila ahli politik dilantik menjadi duta, kebanyakan kerja dilakukan oleh pegawai diplomatik. Ahli politik hanya menghadiri apa yang perlu mereka hadir (program).
“Kebanyakan mereka tidak mempunyai pengalaman dan ia satu perkara yang membebankan kepada kakitangan kedutaan,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Beliau turut mengambil contoh negara luar seperti Amerika Syarikat (AS) yang melantik ahli politik sebagai duta mereka.
Menurutnya, ia berbeza dengan negara ini kerana AS mempunyai misi yang besar dan mempunyai kakitangan yang ramai berbanding dengan Kementerian Luar.
Katanya, Kementerian Luar merupakan sebuah kementerian yang kecil dan mempunyai pegawai diplomatik yang terhad.
Semalam, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata proses pelantikan duta akan dibuat mengikut prosedur sedia ada yang ditetapkan Wisma Putra.
“Bagi pelantikan selepas ini, kami buka kepada mana-mana pegawai tinggi (kerajaan), sesiapa yang berminat mereka boleh cuba memohon jawatan ini.
“Saringan akan dilakukan pegawai tertinggi kementerian sebelum nama calon duta itu diputuskan saya,” katanya.
Mengulas isu sama, bekas duta Malaysia ke Mexico Datuk Yeop Adlan Che Rose pula berkata, kementerian seharusnya menghantar mereka yang terlatih menjadi duta.
“Orang-orang ini (individu yang dilantik menjadi duta) kalau tidak terlatih susah sikit. Akan tetapi ada individu-individu di negara kita yang berpengalaman dalam apa jua bidang boleh digunapakai sebagai diplomat.
“Itu terpulang kepada kita cari dan pilih,” katanya.
Yeop berkata, sekiranya mereka yang tidak terlatih dipilih menjadi diplomat, ia seharusnya daripada individu yang mempunyai kebolehan luar biasa.
“Mungkin ada wakil-wakil daripada industri, universiti dan daripada mana-mana yang boleh dipakai (kepakaran mereka),” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan