Isnin, 9 Julai 2018

Polis mohon lanjut tempoh reman suspek utama kes Adam Rayqal

THE MALAYSIAN TIMES
 


PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat permohonan melanjutkan tempoh tahanan reman daripada mahkamah esok ke atas suspek utama kes kematian bayi lima bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata permohonan reman berkenaan bagi melengkapkan siasatan yang hanya akan memfokuskan kepada pengasuhnya sahaja.

Menurut beliau seorang lagi suspek iaitu rakan serumah pengasuh itu mungkin akan dibebaskan daripada tahanan reman sekiranya tidak dapat membantu siasatan.

“Siasatan kes ini sudah siap dalam 90 peratus dan akan dilengkapkan sepenuhnya secepat mungkin serta (dijangka) akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya dalam minggu ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri di Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din dan beberapa ketua polis daerah.

​​​​​​​Pada 4 Julai lalu dua suspek yang berusia 33 dan 36 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh bayi lelaki berusia lima bulan yang ditemui mati di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves.

Pada Selasa lepas, Adam Rayqal dilaporkan hilang dari rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves dekat sini sebelum mayatnya ditemukan oleh anggota polis di dalam bahagian sejuk beku peti ais di rumah sama lewat malam hari kejadian.

Susulan itu, pengasuhnya dan seorang lagi wanita ditahan pada hari sama dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian bayi berkenaan.

Hasil bedah siasat pakar forensik Hospital Kuala Lumpur mendapati punca kematian Adam Rayqal adalah akibat pendarahan dalaman di bahagian otak dengan kesan retak di bahagian tempurung kepala.–Bernama

Tiada ulasan: