Jumaat, 20 Julai 2018

PM harap berita penangkapan Jho Low benar

Wartawan MalaysiaGazette
MGF16072018_ANGKAT-SUMPAH-SIDANG-PARLIMEN23-681x454
Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad berharap berita penahanan Low Taek Jho atau Jho Low di China adalah benar dan berharap agar ahli perniagaan itu dapat dibawa balik ke Malaysia.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, beliau tidak tahu jika benar Jho Low telah ditahan.

“Saya tidak tahu tetapi terima kasihlah kerana memberikan maklumat yang dia ditangkap Tetapi apa alasannya, saya tidak tahu.

“Saya tidak mempunyai maklumat mengenainya, yang saya tahu dia lari dari satu tempat ke tempat lain kerana cuba mengelak daripada ditangkap,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pagi ini.

Dr Mahathir berkata, walaupun negara ini tidak ada Perjanjian Ekstradisi dengan Cjina tetapi ia tidak bermakna Jho Low tidak boleh diserahkan kepada Malaysia.

Sarawak Report yang memetik stesen radio Hong Kong melaporkan Jho Low telah ditahan dan penahanannya akan diumumkan semasa Perdana Menteri melawat China.

Dr Mahathir mengakui akan mengadakan lawatan ke China pada pertengahan bulan depan.

Jho Low merupakan individu penting dan paling dikehendaki dalam siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad.

Selain Malaysia yang telah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya, polis Singapura juga telah berbuat demikian.

Sebelum ini, polis Malaysia telah cuba menjejaki Jho Low di Hong Kong dan Macau tetapi gagal. Beliau kini didakwa berada di China. – MalaysiaGazette

Ketua Polis tiada maklumat tentang penahanan Jho Low
Jho Low gunakan nama yang sama pada pasport Saint Kitts and Nevis
China nafi Jho Low berada di negara itu
Jho Low di China?


Tiada ulasan: