Jumaat, 20 Julai 2018

PKR Sg Kandis: Umno Selangor rayu PH henti beku akaun

 
Bendahari Umno Selangor Satim Diman mencabar PH berhenti daripada membekukan akaun Umno Selangor jika mereka 'gentleman'.


Satim Diman berkata sekiranya PH masih meneruskan langkah tersebut, ia sedikitpun tidak menjejaskan persiapan Umno Selangor merampas kerusi tradisi PKR itu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Umno Selangor merayu kerajaan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhenti daripada membekukan akaun parti itu.

Bendahari Umno Selangor, Datuk Satim Diman berkata, ia bagi memudahkan gerak kerja parti itu untuk menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis.

“Akaun Umno masih dibekukan lagi.

“Orang yang bekukan akaun ini cuba fikir misalnya orang tak ada duit untuk menjalankan tugas-tugas tertentu, macam mana? Zaman BN (Barisan Nasional) dulu tidak ada akaun dibekukan,” katanya kepada FMT.
Satim turut mencabar kerajaan Pakatan Harapan berhenti daripada membekukan akaun Umno Selangor bagi menghadapi PRK Sungai Kandis jika mereka “gentleman”.

“Kalau mereka ‘gentleman’ buat lah yang terbaik, kalau rasa nak terus bekukan terpulang sebab mereka ada kuasa,” katanya.

Katanya, jika kerajaan berdegil untuk terus membekukan akaun, ia sedikitpun tidak menjejaskan persiapan Umno Selangor untuk merampas kerusi tradisi PKR itu.

“Bila orang kalah ini, kita kena menginsafi untuk menentukan kemenangan ini. Tidak semestinya dengan duit, semangat juang kena lebih tinggi. Duit itu bukan segalanya, persiapan PRK kita tidak terjejas,” katanya sambil memaklumkan jentera Umno akan bergerak secara suka rela.

Sebelum ini Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan SPRM membekukan akaun Umno pusat dan Umno Selangor.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei dari PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Tiada ulasan: