THE MALAYSIAN TIMES
SHAH ALAM: PKR Selangor telah mengenal pasti tiga calon yang berpotensi untuk dipertaruhkan bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Selangor dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) 4 Ogos depan.
Pengerusi PKR Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, nama-nama itu akan diserahkan kepada barisan kepimpinan tertinggi pusat sebelum ia dimuktamadkan.
“Ada ramai calon yang berkelayakan, kita kena hormati proses pemilihan, kita dengar kata akar umbi, cabang dan kemudian biar pusat yang buat keputusan dan selepas itu baru kita akan umumkan,”
katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Menteri Besar Incorporated (MBI) di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di sini, hari ini.
Turut hadir selain Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, ialah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan anggota DUN (Adun) Ijok Dr Idris Ahmad.
Ketika ditanya akan kriteria pemilihan tiga calon itu, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu namun tidak menolak calon wanita bagi kerusi berkenaan.
”Kita pastinya meletakkan calon yang ‘bersih’ dan diterima rakyat, untuk calon wanita… pastinya tiada diskriminasi gender dan dengan kredibiliti yang dibawa Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei sebelum ini, kita yakin PKR dapat mengekalkan kemenangan kerusi itu, ” tambah beliau.
Sebelum ini tiga nama disebut untuk mengisi kekosongan kerusi itu, iaitu bekas Adun Kota Anggerik Yaakob Sapari dan dua calon muda parti itu Mohd Radzlan Jalaluddin serta Mikael Eskandar.
Sementara itu, Amirudin berkata jentera PKR Selangor secara keseluruhan telah bersedia menghadapi pilihan raya itu serta sedia menghadapi sebarang kemungkinan hasil percaturan PAS dan Barisan Nasional (BN) dalam meletakkan calon mereka.
“Apa pun kita bersedia… pertembungan satu lawan satu atau tiga penjuru…”
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan penyandang kerusi berkenaan Mat Shuhaimi daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai. Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Shuhaimi mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan majoriti 12,480 undi dalam pertandingan empat penjuru.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan