Selasa, 3 Julai 2018

PEMILIK AKAUN DIBEKU PERLU SEGERA TAMPIL – SPRM




Mana-mana pihak atau individu yang terlibat dengan pembekuan akaun bank berjumlah  RM1.1 bilion yang disyaki mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diminta segera tampil memberi kerjasama supaya tidak berdepan dengan sebarang tindakan undang-undang kelak.

Menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Syukri Abdull, pihaknya mahu pemilik akaun yang dibekukan, tidak kira individu, parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), secara sukarela memulangkan wang berkenaan.

Jelas beliau, seandainya mereka tahu dana tersebut berpunca dari 1MDB, adalah lebih baik untuk tampil memberi kerjasama dengan pihak berkuasa secepat mungkin.

“Kita telah bekukan akaun-akaun yang kita punyai bukti lengkap menerima dana daripada 1MDB.
Seandainya pemilik akaun itu tahu dan sedar, adalah lebih baik anda tampil memberi kerjasama.

“Kita juga tidak perlu beri apa-apa notis kepada pemilik akaun sebaliknya jika mempunyai bukti, kita lakukan apa yang betul mengikut lunas undang-undang.

“Kita minta supaya pemilik akaun tersebut supaya serahkan wang secara sukarela kalau tidak tindakan akan diambil dengan kadar segera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan buku hasil karya Presiden Transperancy Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar bertajuk ‘Corruption and Crime in Malaysia: Perception or Reality’ di Gerak Budaya di Kuala Lumpur, pada Selasa.


Tiada ulasan: