Selasa, 17 Julai 2018

Pembangkang keluar Dewan Rakyat: Umno tak hukum Khairy


Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa berkata, parti itu mengamalkan 'dasar terbuka'. 



Annuar Musa berkata, Umno tidak memutuskan untuk meninggalkan atau memboikot prosiding hari ini, tetapi mereka sekadar keluar dari Dewan Rakyat untuk bercakap kepada media.


PETALING JAYA: Umno tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap bekas ketua Pemuda dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin kerana tidak bersama ahli Parlimen pembangkang lain meninggalkan Dewan Rakyat pagi tadi.

Annuar dipetik NST Online sebagai berkata, ini kerana Umno mengamalkan “dasar terbuka”.

Katanya, Umno tidak memutuskan untuk meninggalkan atau memboikot prosiding hari ini, tetapi mereka sekadar keluar dari Dewan Rakyat untuk bercakap kepada media.

Beliau berkata, Khairy tidak mengikut ahli Parlimen pembangkang lain keluar dewan mungkin kerana beliau tidak menyedari apa yang diputuskan kerana tidak menghadiri mesyuarat parti semalam, di mana Umno membincangkan cara bertindak balas terhadap isu speaker Dewan Rakyat.

“Kami hormat pandangannya yang merupakan pandangan peribadinya. Pandangan kami berdasarkan konsensus dan membabitkan semua parti komponen (BN).”

Semua ahli Parlimen pembangkang BN dan PAS bertindak keluar dewan untuk membantah pelantikan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai speaker yang didakwa melanggar peraturan Dewan Rakyat.

Hanya Khairy dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman kekal dalam Dewan Rakyat.

Ariff yang mengangkat sumpah pagi tadi, dilantik sebagai speaker susulan cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Moahmad yang disokong Timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Tiada ulasan: