Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rakyat sudah muak dengan pemerintahan Najib yang disifatkan sebagai kuku besi dan banyak menyusahkan rakyat.
Menurutnya, penghargaan seharusnya diberikan kepada rakyat yang bangkit menumbangkan BN dan tugas PH sekarang adalah memperbaiki segala kerosakan yang telah dilakukan.
"Mereka (BN) seolah-olah kebal dan tidak mungkin kalah. Mereka juga ingat dapat memerintah lagi 100 tahun.
"Tetapi mereka silap dan tidak ambil kira perasaan rakyat yang tidak suka dengan pemerintahan kuku besi.Sekarang kita berjaya tumbangkan mereka," katanya dalam ucapan pada majlis makan malam sempena mengumpul dana untuk Tabung Harapan Malaysia di Ideal Convention Center (IDCC), sebentar tadi.
Jelasnya lagi, apabila PH mengambil alih kerajaan, banyak kerosakan besar berjaya dikesan dilakukan kerajaan ketika pemerintahan Najib.
“Bukan sahaja wang hilang, berbilion ringgit hilang tapi jentera kerajaan telah disabotaj supaya tidak berjalan lebih baik dan terpaksa kita ambil tindakan untuk memecat sesetengah pegawai daripada pentadbiran terdahulu,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan yakin mampu mengatasi masalah yang ditimbulkan oleh kerajaan terdahulu dengan adanya sokongan dari rakyat.
"Malam ini jelas yang hadir untuk derma kepada Tabung Harapan. Walaupun kita dapat hanya beberapa juta, tetapi yang penting kesanggupan rakyat demi negara," katanya
Dalam majlis itu, sebanyak RM3.4 juta berjaya dikumpulkan untuk Tabung Harapan Malaysia melalui gabungan 18 Persatuan Cina Klang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan