Isnin, 23 Julai 2018

Muhyiddin: Mansuh pasukan khas polis elak pertindihan tugas

MALAYSIAKINI

   
PARLIMEN | Kementerian Dalam Negeri memaklumkan pemansukan pasukan khas polis kerana pertindihan fungsinya dengan jabatan serta unit polis sedia ada.

Tiga pasukan berkenaan ialah Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) Pasukan Taktikal Khas Anti Maksiat, Judi, dan Gangsterisme (STAGG) dan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC).

Kesemua pasukan petugas khas ini ditubuhkan pada 2014 ketika era Tan Sri Khalid Abu Bakar menjawat ketua polis negara.

Dalam jawapan bertulis hari ini, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata STAGG menjalankan fungsi yang sama dengan D7A (Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) dan D7C (Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran).

Manakala itu, STING pula menjalankan peranan yang sama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

Jimat belanja kerajaan

STAFOC pula didapati sama dengan D9 (Bahagian Siasatan Jenayah Berat).

"Ketiga-tiga Pasukan Khas ini menjalankan fungsi tugas yang sama dengan bahagian risikan/ operasi sedia ada dalam jabatan masing-masing.

"Ini mengakibatkan ketidakmurnian penugasan risikan/ operasi dalam jabatan sendiri.

"Ianya sekaligus menimbulkan persepsi 'double standard' kerana pasukan khas taktikal merupakan pasukan elit dalam PDRM.

"Dengan pemansuhan Pasukan Khas Taktikal ini, bahagian yang menjalankan tugas risikan/ operasi dalam jabatan masing-masing boleh disusun semula," katanya.

Muhyiddin menjelaskan keputusan itu juga membenarkan pembahagian sumber manusia dan kewangan yang lebih baik, sekali gus menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Penjelasannya sebagai jawapan kepada pertanyaan Anggota Parlimen Kota Tinggi Datuk Halimah Mohamed Sadique yang bertanya sebab tiga unit itu dibubarkan dan jika kementerian telah menjalankan kajian menyeluruh sebelum berbuat demikian.

Bulan lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, STAGG, STING dan STAFOC akan menjalani penstrukturan semula.

Pada waktu itu, tidak jelas jika pasukan khas tersebut akan dibubarkan.


Tiada ulasan: