Belia yang ditemui FMT berkata ia kerana faktor gaji rendah, jurang bilangan kaum yang luas dan bahaya.
PETALING JAYA: Prasangka gaji rendah sebab utama belia bukan Bumiputera enggan menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pemegang ijazah, Tan Kwan Shean dan Robyn Jayne Lopez, memberitahu FMT tawaran gaji yang rendah faktor mengapa belia bukan Bumiputera tidak menyertai ATM.
“Pekerjaan sebagai seorang tentera juga dilihat sebagai kelas rendah dan tidak akan memberi jaminan masa depan kerana faktor gaji yang dibayar,” kata Robyn.
FMT mengunjungi laman gaji untuk tentera laut bagi Laskar Muda dan mendapati gaji minimum yang ditawarkan ialah RM1,459.
Menurut seorang gadis India yang tidak mahu namanya didedahkan, ia kerana majoriti orang yang menyertai tentera adalah orang Melayu.
“Belia bukan Bumiputera tidak mahu menyertai tentera kerana mereka akan dipandang sebagai minoriti. Baik kami buat kerja yang mudah dan senang tanpa menggunakan fizikal dan mental,” katanya.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menetapkan sasaran 10% pengambilan orang bukan Melayu menyertai ATM setiap tahun.
Bagi Ooi Li Thing pula, budaya masyarakat Cina dan bilangan anak lelaki mungkin boleh menjelaskan mengapa ATM sukar menarik penyertaan orang Cina.
“Orang Cina hanya mempunyai 1 atau 2 anak lelaki dan keluarga tidak akan mengizinkan anak lelaki mereka terlibat dalam ATM yang boleh mengancam nyawa anak mereka,” katanya.
Baru-baru ini, FMT melaporkan seorang bekas pegawai kanan tentera menyokong langkah melantik pakar strategi DAP, Liew Chin Tong sebagai timbalan menteri pertahanan kerana percaya ia dapat meningkatkan bilangan orang bukan Melayu menyertai angkatan bersenjata itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan