Khamis, 12 Julai 2018

MCA restu Umno guna Sang Saka Bangsa dalam PRK Sungai Kandis

 
Ia bukanlah suatu masalah buat MCA memandangkan perkara sama pernah berlaku ketika parti itu berada dalam gabungan Perikatan.


Umno Selangor bersetuju meletakkan calon bertanding dalam PRK Sungai Kandis dan buat pertama kali menggunakan lambang parti itu sendiri, bukan lambang BN. (Gambar Bernama)


PETALING JAYA: Hasrat Umno Selangor untuk bertanding pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menggunakan lambang parti dan tidak menggunakan lambang Barisan Nasional (BN) dipersetujui MCA Selangor.

Setiausaha MCA Selangor, Ng Chok Sin berkata ia bukanlah suatu masalah buat MCA memandangkan perkara sama pernah berlaku ketika parti itu berada dalam gabungan Perikatan.

“Kita kembali semula ke zaman ketika kita mula-mula bergabung dalam Perikatan sebelum Merdeka. Kita tidak ada halangan untuk Umno gunakan lambang parti mereka,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Umno Selangor bersetuju untuk meletakkan calon bertanding dalam PRK Sungai Kandis dan buat pertama kali menggunakan lambang parti itu sendiri, bukan lambang BN.
Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat dipengerusikan pengerusi Umno negeri itu, Tan Sri Noh Omar.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan turut mencadangkan Umno bertanding atas nama parti itu bagi melihat sejauh mana penerimaan rakyat terhadap Umno dalam senario politik semasa.

Ng bagaimanapun berkata keputusan untuk membantu jentera Umno sewaktu pilihan raya itu belum dapat dipastikan kerana pihaknya masih menunggu arahan dari kepimpinan MCA pusat.

“Kita kena tunggu arahan daripada pucuk pimpinan untuk membantu Umno dalam PRK Sungai Kandis ini. Sampai sekarang masih belum ada taklimat mengenai itu lagi.

“Kawasan itu majoriti pengundi Melayu, saya yakin penyokong tegar BN dahulu masih menyokong calon dari parti kawan kita, iaitu Umno,” katanya.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan penyandang kerusi berkenaan Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Ogos depan sebagai hari pengundian, manakala hari penamaan calon pada 21 Julai ini.

Sungai Kandis dahulunya dikenali sebagai DUN Seri Andalas, berada dalam Parlimen Kota Raja yang dimenangi Presiden Amanah, Mohamad Sabu dengan majoriti besar sebanyak 71,142 undi.

Mohamad mendapat 90,697 undi mengalahkan calon PAS, Mohamed Diah Harun 19,555 undi dan calon BN V Gunalan 17,874.

Pada pilihan raya Mei lepas, Mat Shuhaimi Shafiei menang dalam pertandingan 4 penjuru dengan majoriti 12,480 undi.

Mat Shuhaimi memperolehi sebanyak 23,998 undi, manakala calon BN, Kamaruzzaman Johari (11,518), calon PAS Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan Hanafiah Husin dari Parti Rakyat Malaysia (76).

Kerusi DUN berkenaan dimenangi PKR selama 3 penggal berturut-turut sejak pilihan raya umum ke-12 lalu pada 2008. Sejak 2 penggal lalu, kerusi berkenaan diwakili Xavier Jeyakumar.

Berdasarkan statistik pilihan raya lepas, terdapat 50,800 pengundi di kerusi tersebut, dengan 72% daripadanya adalah pengundi Melayu, Cina (12%), India (16%).

Tiada ulasan: