Ahad, 22 Julai 2018

Lokman terima limpahan sokongan

 

PRK SG KANDIS | Tamat saja penamaan calon semalam, bermulalah tempoh kempen PRK Sungai Kandis - pilihan raya kecil pertama bawah kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) selepas PRU ke-14.

Dan baru saja masuk hari kedua, calon BN Datuk Lokman Noor Adam sudah mendapat keyakinan bahawa ramai pengundi akan memberikan sokongan kepadanya.

Menurutnya, ramai yang kecewa dengan tindakan kerajaan HARAPAN serta muak dengan "janji-janji kosong" mereka.

"Ramai secara sukarela bersama kami sebagai jentera pilihan raya. Bukan setakat itu saja, saya tak boleh tahan apabila setiap hari ramai yang hantar pesanan melalui WhatsApp untuk bantu kita.

"Saya tak berseorangan...ada 1,487 pesanan yang beri dorongan dan kata semangat untuk kita menang," katanya kepada pemberita ketika program 'bersarapan dan bertemu rakyat" di Taman Sri Andalas, Klang, pagi ini.

Lokman akan berdepan Mohd Zawawi Ahmad Mughni (PKR) dan K Murthy (Bebas). Beliau berdepan tugas berat untuk memadam majoriti 12,480 undi yang dimenangi PKR pada PRU lalu.



Lokman yang merupakan bekas pemimpin PKR berkata, PRK ini akan menyaksikan kebangkitan rakyat yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran HARAPAN.

"Mungkin sebelum ini mereka hendak cuba (tukar kerajaan). Itu bagus tapi ada risiko menukar kepada kerajan yang lebih teruk daripada sebelumnya.

"Tetapi rakyat Sungai Kandis tak perlu tunggu lima tahun (untuk tukar semula). Mereka boleh terjemahkan pendirian mereka dengan undi BN pada PRK ini," katanya yang kini menjadi anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno.

MP pun orang luar

Ditanya tentang kedudukannya sebagai calon dari luar, Lokman menegaskan perkara itu tidak penting berbanding memastikan kebajikan penduduk di DUN itu terbela.

Apatah lagi memandangkan anggota parlimen di situ merupakan orang luar yang pernah bertanding di pelbagai tempat, katanya, merujuk anggota parlimen Kota Raja Mohamad Sabu.

"Mana tempat pun dia bertanding - Kelantan, Pulau Pinang. Kalau nak calon tempatan, mereka kena buang dulu anggota parlimen di sini," katanya yang juga ketua Pemantau Malaysia Baru.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas wakil rakyatnya Mat Shuhaimi Shafiei, 50, meninggal dunia 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

SPR menetapkan tempoh kempen selama dua minggu dan hari mengundi pada 4 Ogos ini.

Tiada ulasan: