KUALA LUMPUR – Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menafikan berita tular mengaitkan beliau dengan pemilihan parti MIC melibatkan calon presidennya, Tan Sri S. S. Vikneswaran.
Ketua Polis Negara berkata, beliau tidak ada kena mengena dengan berita dalam WhatsApp yang disebarkan dalam media sosial sejak kebelakangan ini.
“Saya sangat dukacita nama saya dikaitkan dengan pemilihan kepimpinan tertinggi MIC.
“Mana ada polis terlibat. Mesej yang mendakwa kononnya pihak berkenaan menerima respon saya mengenai siasatan pemilihan itu semua palsu dan tidak benar sama sekali,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.
Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai mesej Whatsapp yang menunjukkan mesej balas beliau kepada aduan ahli MIC kononnya Naib Presiden MIC itu mengugut semua ketua-ketua cawangan dan bahagian MIC supaya memberi sokongan dengan mengisi borang pencalonannya sebagai presiden pada pemilihan parti Julai ini.
Mengulas lanjut dakwaan itu, Mohamad Fuzi berkata, segala dakwaan mengaitkan beliau dengan pemimpin dan pemilihan parti itu adalah palsu.
“Saya tak terlibat dengan apa apa perbuatan seperti itu kerana saya neutral kecuali isu isu melibatkan siasatan jenayah.
“Apa yang dihebahkan dalam WhtsApp itu tak betul, saya menafikan terlibat mana-mana perkara sebegitu,” tegas beliau. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan