Rabu, 18 Julai 2018

KLVC : Pemaju projek SPSB saman Razali RM100 juta dakwa memfitnah





Pemaju utama projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak iaitu Synergy Promenade Sdn. Bhd. (SPSB) telah memfailkan saman terhadap bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim, berhubung kenyataan yang dibuat terhadap syarikat tersebut yang didakwa berunsur fitnah.

SPSB telah memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap bekas Ahli Parlimen Muar melalui Tetuan Reza Rahim & Rajivan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

SPSB dalam kenyataan hari ini, menegaskan bahawa kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Razali telah mencemarkan reputasi SPSB dan adalah palsu dan tidak berasas.

SPSB telah sebelum ini menyampaikan satu Notis Tindakan kepada Datuk Seri Razali menuntut beliau supaya meminta maaf dan membayar gantirugi namun begitu, Razali telah gagal berbuat demikian.

Pada 4 Jun lalu, SPSB menyaman Tan Sri Shahrir Abdul Samad untuk menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta berhubung beberapa siri kenyataan yang dibuat terhadap syarikat pemaju tanah Felda di Jalan Semarak tersebut yang didakwa berunsur fitnah.

Saman tersebut difailkan oleh Pengarah Pembangunan Perniagaan syarikat itu, Datuk Marina Hashim melalui firma guaman Tetuan Reza Rahim & Rajivan.

Tiada ulasan: