Rabu, 11 Julai 2018

Jual Kompleks Darul Barakah keputusan menyedihkan


Ahmad Hasbullah Elias dan  Najmuddin Elias
Ahmad Hasbullah Elias dan Najmuddin Elias
 
 
IPOH - Keputusan tokoh pendakwah terkemuka, Datuk Mohd Kazim Elias menjual sebahagian Kompleks Al Barakah atas masalah kewangan adalah sesuatu perkara amat menyedihkan untuk masa hadapan umat Islam.

Pandangan itu diutarakan abang kepada tokoh penceramah agama itu, Datuk Mohd Najmuddin Elias susulan mendapat tahu hasrat adiknya itu melalui laman Facebook peribadi baru-baru ini.

Menurutnya, Mohd Kazim atau lebih dikenali Ustaz Kazim belum lagi memaklumkan cadangan menjual sebahagian Kompleks Al Barakah atau dikenali sebagai Bangunan Tahfiz Darul Barakah di Manjoi, Ipoh kepadanya secara peribadi sehingga kini.

“Cuma, saya cuma dapat tahu mengenai perkara itu melalui laman Facebook beliau. Saya cuba hubungi beliau (Ustaz Kazim) tetapi tidak dapat.

“Sekiranya berita ini sahih, saya menganggap keputusan beliau adalah sesuatu perkara  amat menyedihkan untuk masa hadapan umat Islam di Perak,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Mohd Najmuddin yang juga bekas Adun Batu Kurau berkata, sebelum ini, Ustaz Kazim ada memaklumkan kepadanya mengenai masalah kewangan dihadapinya bagi menguruskan Kompleks Al Barakah.

Menurutnya, masalah itu dihadapi Ustaz Kazim susulan kurang menerima jemputan berceramah agama oleh pihak masjid dan surau di seluruh negara sejak berakhirnya PRU14.

“Masalah itu semakin kritikal selepas perayaan Aidilfitri dan saya tidak menolak kemungkinan faktor beliau kurang dijemput berceramah disebabkan perbezaan politik,” katanya.

Mohd Najmuddin berkata, selaku individu pernah terlibat dalam pengurusan Kompleks Al Barakah sebelum ini, beliau menegaskan sejumlah peruntukan RM180,000 sebulan diperlukan Ustaz Kazim bagi membiayai kos pengurusan Pusat Tahfiz Darul Barakah itu.

Menurutnya, pusat tahfiz yang beroperasi sejak enam tahun lalu kini menempatkan sejumlah 130 pelajar di mana sebahagian besar yuran pengajian mereka ditanggung Ustaz Kazim sendiri.

“Daripada jumlah itu, sebahagian besar mereka berasal dari keluarga miskin dan meskipun terdapat yuran pengajian dikenakan, hanya sebahagian kecil yang mampu sahaja membayarnya.

“Saya teramat sedih melihat senario ini dan berharap kerajaan negeri Perak baharu dapat mengenepikan perbezaan politik seterusnya mengambil perhatian nasib Kompleks Al Barakah yang diusahakan Ustaz Kazim bagi tujuan murni,” katanya.

Mohd Najmuddin sekali lagi menegaskan objektif Ustaz Kazim menubuhkan Kompleks Al Barakah hanya semata-mata bagi melahirkan generasi al-Quran pada masa hadapan dan bukan atas kepentingan peribadi serta politik.

Menurutnya, bagi menyahut seruan ‘Malaysia Baharu’, seharusnya sebarang perbezaan fahaman politik diketepikan, sebaliknya usaha kesinambungan dakwah Islam dalam kalangan umat di negara ini perlu disokong semua pihak.

“ Saya menggesa kerajaan baharu Harapan tidak mengenakan  sebarang tekanan politik dengan tindakan ‘gam’ kepada mana-mana tokoh agama untuk menyampaikan dakwah meskipun berlainan fahaman politik.

“Kalau dakwah disekat, saya bimbang kejahilan akan terus berleluasa, seterusnya keberkatan diterima pentadbir dan rakyat di negara ini akan berkurangan,” katanya.

Mohd Najmuddin tidak menolak kemungkinan akan mengadakan pertemuan dengan Ustaz Kazim dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan terperinci tokoh agama terkemuka negara itu.

Sementara itu, seorang lagi abang kepada Ustaz Kazim, Ahmad Hasbullah Elias sewaktu dihubungi mengakui ada dimaklumkan mengenai berita penjualan sebahagian Kompleks Al Barakah oleh tokoh agama itu melalui kiriman media sosial.

“Saya tidak tahu perkara lanjut, cuma saya mengesahkan Ustaz Kazim kini berdepan kekangan kewangan sehingga menyebabkan keputusan berat itu terpaksa dibuat,” katanya.

Tiada ulasan: