Isnin, 9 Julai 2018

Jawapan Zam sangat prejudis kepada institusi tahfiz

 
   
ULASAN l Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menolak hujah melampau Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) mempertahankan syornya agar institusi tahfiz di tutup. Bagi kami kebanyakan hujah beliau tidak releven dan tidak berasas untuk menutup institusi tahfiz.

Sentimen beliau mengatasi data empirikal. Malah beliau jauh dari berniat untuk mencadangkan penambaikkan institusi Islam yang boleh menyumbang kepada kemajuan masyarakat Islam di negara ini dengan syarat diurus dengan baik.

Pemikiran beliau sarat dengan prasangka buruk sehingga beliau tidak melihat sedikitpun kebaikkan kepada institusi tahfiz.

Di awal hujahnya Zam mengatakan cadangan beliau adalah suatu provokasi untuk menarik polemik awam. Kami menegaskan tidak perlu provokasi yang negatif dan mengelirukan seperti itu.

Jelas beliau tidak mempedulikan sentiment masyarakat awam serta pihak agensi rasmi kerajaan yang mengujudkan pelbagai institusi Islam yang ada di negara ini.

Jika institusi tahfiz dapat melahirkan pemikiran dan ahli professional sebagai kes terpencil, maka segala kes negatif yang berlaku di institusi tahfiz yang dikutip oleh Zam dalam hujahnya juga adalah terpencil.

Dari lebih 700 institusi tahfiz dengan lebih 70,000 pelajar yang ada di negara ini, kes negatif yang dicatat oleh Zam sangat terpencil.

Beliau bersandarkan hujahnya lebih kepada tanggapan beliau yang diselebungi sentimen prejudis kepada institusi tahfiz dan merumuskan pandangan secara simplistik.




Dengan berhujah bahawa ada pihak ustaz yang mengkormesialkan tahfiz dengan mencatat satu dua kes pelajar diperalatkan , adalah hujah yang lemah untuk menjadi sebab menutup institusi tahfiz.

Kerajaan boleh bertindak menghalang pihak-pihak yang jelas menyalahgunakan institusi tahfiz. Kenapa hanya dengan beberapa kes terpencil, semua institusi tahfiz harus ditutup?

Alasan pukal

Dakwaan Zam ibubapa mahu menghapuskan dosa mereka dengan menghantar anak ke institusi tahfiz sangat melampau. Malah beliau mencatat “banyak anak-anak kita yang akan menjadi korban dan membuang masa di sekolah tahfiz persendirian yang masih di luar kawalan”.

Dakwaan ini tidak benar untuk menjadi alasan pukal.

Apa yang perlu ialah penyeliaan yang rapi. Apatahlagi beliau mengaitkan mayat para hufaz yang tidak reput dikaitkan dengan pemimpin-pemimpin bukan Islam, Stalin dan Mao, yang dibekukan mayat dan tidak hancur.

Kami hairan kenapa Zam membandingkan sejauh itu, dan tidak menhormati niat baik para ibubapa yang inginkan anak mereka menghafal Quran. Buruk sangka beliau terhadap kemulian para hufaz sangat mendalam.

Lebih jauh dari itu Zam mengaitkan pula soal menguasai bahasa Arab sudah tidak releven.

Beliau menulis “Bahasa Arab tidak lagi mempunyai nilai sebagai bahasa ilmu kecuali dalam bidang agama. Mana ada orang Arab yang terkenal di dunia dalam bidang profesional kerana bahasa Arab sendiri terbantut kemajuannya dalam bidang ilmu”.

Dengan mengungkap tidak ada ahli pakar Islam dalam bahasa Arab, menunjukkan betapa dangkal dan chauvisnitik beliau kepada bahasa Inggeris yang diagungnya sebagai yang lebih utama dari bahasa Arab yang merupakan bahasa Al Quran.

Beliau menyatakan Tun Dr Mahathir Mohamad berani membawa pandangan kritikal kepada para agamawan berbanding Najib dan kini kerajaan Pakatan Harapan di bawah perdana menteri sepatutnya berani menyatakan kritikan kepada institusi agama.




Pandangan ini adalah silap. IKIM diujudkan pada zaman Mahathir dan beliau mahu Islam difahami dengan tepat, akan tetapi tidak menimbulkan isu institusi tahfiz tidak releven.

Dr Mahathir memang dilihat kritikal terhadap ulama dengan berpandangan bahawa kefahaman mereka membawa kemunduran. Kami juga krtitikal terhadap pandangan beliau. Akan tetapi setakat ini Mahathir tidak pergi sejauh sehingga mengesyorkan institusi tahfiz perlu ditutup.

Zam mengungkit tragedi kebakaran yang membunuh lebih 20 orang pelajar tahfiz di Kuala Lumpur tidak lama dahulu. Beliau mendakwa pihak yang bertanggungjawab sepi. Apakah ini benar?

Kecuaian di sekolah kebangsaan

Apakah Zam tidak bertanya kepada pihak berkenaan mengenai langkah yang telah ambil termasuk memeriksa semua institusi tahfiz yang ada diseluruh negeri Selangor?

Perlukah Zam dimaklumkan semuanya secara khusus apa langkah yang diambil oleh pihak yang berkaitan?

Memang masih banyak yang perlu dilakukan kepada institusi tahfiz persendirian dari sudut peraturan dan syarat operasinya, akan tetapi tidak sampai menutup semua institusi tersebut.

Tidak dinafikan adalah kelemahan dalam pengurusan, pengajaran dan pembelajaran serta penyeliaan sekolah tahfiz. Namun bagi kami semua itu tidak sepi berlaku di sekolah yang lain juga hatta disekolah kerajaan sekalipun.

Jika Zam menyenaraikan beberapa kes kelemahan pada sekolah tahfiz, ribuan kes penderaan, salah laku dan kecuaian berlaku di sekolah kebangsaan juga.




Zam sangat prejudis kepada golongan yang berjubah dan berkopiah putih. Keagungan beliau kepada golongan bertali leher dan berkot menguasai pemikirannya sehingga menuding seolah jabatan agama tidak menjalankan tanggungjawab kerana tidak berani dengan golongan tersebut.

Apakah yang bermaju mat saleh itu suci dari penyelewengan? Zam sememangnya menyimpang prasangka kepada pakaian sebagai sebahgian syariat Islam lalu menyentuh soal jubah dan kopiah sebagai hujah.

Kami bersetuju teguran dan pandangan perlu diberi kepada para agamawan agar Islam boleh ditampilkan dengan murni untuk memajukan negara. Dr Mahathir ada melontarkan idea dan membangun institusi Islam.

Komersialisasi agama memang patut diperangi. Tetapi Zam melampau dalam pandangannya bila dikaitkan Islam harus mengambil hati orang bukan Islam seperti MCA yang dikatakan menolak Umno kerana tidak bersikap tegas kepada suara yang mahukan hukum Islam ditegakkan di negara ini.

Apakah menegakkan Islam harus mendapat restu dari orang bukan Islam walaupun hukum itu hanya untuk orang Islam?

Kami menegaskan bahawa pendekatan konstruktif perlu diambil. Institusi tahfiz punyai tempat yang releven dan sumbangan yang besar dalam membangun tamadun Islam di negara ini.

Keghairahan masyarakat kepada pembelajaran tahfiz Quran tidak boleh diperkecilkan. Apa yang perlu digubal ialah peraturan, penyeliaan dan penyelerasan serta hala tuju institusi tahfiz.


*MOHD AZMI ABDUL HAMID adalah presiden Mapim.

Tiada ulasan: