Isnin, 9 Julai 2018

Yusni Hamid kecewa kepercayaan diberi tiada hasil

 
   

Ketika isu sama ada wajar hanya satu badan dibenarkan beroperasi bagi mengutip royalti artis, seorang penyanyi mendedahkan dia tidak pernah menerima bayaran daripada Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (Prism Berhad) sejak 2011.

Menurut Datuk Yusni Hamid dia memberikan sepenuh kepercayaan kepada Prism Berhad sejak badan itu ditubuhkan.
 
Namun katanya selepas tujuh tahun tiada sebarang royalti diterimanya.

Yusni - penyanyi malar segar itu - tampil memberi kenyataan terbabit kepada Malaysiakini sebagai tanda amat kecewa dengan Prism Berhad yang diibaratkan telah mengkhianati amanah diberikan.

"Saya amat kecewa kerana selepas tujuh tahun kewujudan Prism Berhad, saya masih tidak dapat walau satu sen pun royalti hingga sekarang.

“Hal ini berlaku sedangkan perjalanan karier saya masih aktif dan ada lagu-lagu dimainkan di beberapa stesyen radio dan tempat awam,” kata pemilik nama asal Aisah Mohd Shariff itu.

Penghibur yang turut digelar penyanyi diraja itu antara artis veteran popular Malaysia yang menyatakan sokongan penuh beliau kepada cadangan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) agar Prism Berhad dibatalkan lesen dan ditutup operasinya serta-merta.

Terdahulu, Karyawan menggesa kerajaan membenarkan hanya satu badan menguruskan isu royalti persembahan awam artis selain mencadangkan Prism Berhad ditutup.

Mohon bantuan menteri

Menurut Karyawan, berlaku kekeliruan dan kepincangan dalam proses pengagihan royalti apabila terdapat sebuah lagi badan yang juga berperanan sama, Recording Performers Malaysia Berhad (RPM).

Bagaimanapun, Presiden Prism Berhad Anuar Dahlan kemudian mempertahankan badan itu dan dan mendakwa mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan, selain auditnya diluluskan MyIPO.

Kata Yusni dia mendapat tahu ada beberapa artis lain turut menerima nasib sama.

Menurut penyanyi Bilakah Derita Berakhir dan Gara-Garamu itu antara yang diketahuinya menerima royalti daripada Prism Berhad ialah Aspalela Abdullah dan S Rohani.

“Cadangan daripada Mesyuarat Agung Tahunan Karyawan ke-19 baru-baru ini memang tepat sekali, iaitu membatalkan lesen Prism Berhad dengan serta-merta dan mendaftarkan semua artis di bawah satu lagi badan yang mempunyai lesen kutipan iaitu RPM.

“Saya difahamkan pihak artis telah rugi berjuta-juta ringgit disebabkan isu ini.

“Lebih baik semua artis bersatu di bawah RPM yang telah berjaya mengutip berjuta-juta ringgit dan mengagihkannya semula kepada ahli sejak 2011” katanya.




Pada masa sama Yusni menggesa campur tangan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menangani isu itu secepat mungkin.

“Saya mohon jasa baik menteri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail perbetulkan keadaan yang mengelirukan ini kerana dengan adanya dua badan yang mewakili artis ini, kami tidak mendapat hak yang sepatutnya," katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan daripada Prism Berhad mengenai dakwaan Yusni berkenaan.


Tiada ulasan: