THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) Datuk R Sri Sanjeevan dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan menghina bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan seorang lagi menerusi Facebook miliknya, tahun lepas.
Majistret Mahyudin Mohmad Som membuat keputusan itu setelah Timbalan Pendakwa Raya Hafizza Sauni memaklumkan saksi utama iaitu bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar gagal hadir untuk kali ketiga bagi memberi keterangan dalam kes itu.
Dalam prosiding pada 6 Jun lalu, mahkamah telah menetapkan hari ini sebagai tarikh akhir untuk pihak pendakwaan memastikan kehadiran bekas ketua polis negara itu.
Tiga saksi pendakwaan telah dipanggil sejak tarikh pertama perbicaraan pada 9 Jan 2018.
Pada 11 Okt 2017, Sanjeevan telah didakwa sengaja menyiarkan tohmahan menerusi Facebook terhadap bekas Pengarah Jabatan Siasatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Mohmad Salleh dan Khalid sebagai bekas Ketua Polis Negara dengan niat untuk merosakkan nama baik mereka.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 11, Menara 2, Ibu Pejabat Polis (IPD) Bukit Aman, Dang Wangi, di sini, pada 8.30 pagi, 3 Jan 2016.
Bagi kesalahan tersebut, dia yang diwakili peguam S. Preakas, didakwa mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum menerusi Seksyen 500 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan