Isnin, 9 Julai 2018

Buang masa saja saman KP SPRM, kata pemimpin Umno

 


Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Lokman Noor Adam berkata tindakan untuk menyaman Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Shukri Abdull hanyalah sesuatu yang membuang masa.

"Bazir masa saja saman orang macam ini.

"Sebab kita tahu kerajaan Malaysia hari ini mengamalkan undang-undang rimba, bukannya kedaulatan udang-undang," kata Lokman ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau antara sejumlah penyokong yang menunggu ketibaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menandatangani dokumen yang perlu selepas pembayaran baki RM500,000 bayaran ikat jamin bagi empat tuduhan yang dihadapinya berkaitan bekas subsidiari 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Lokman mengulas kenyataan Shukri Sabtu lalu yang dilaporkan mengalu-alukan pihak yang tidak berpuas hati dengan siasatan SPRM berhubung perkara itu untuk membuat laporan polis atau saman sivil terhadapnya.

Sebelum ini, Lokman yang juga presiden NGO Pemantau Malaysia Baru membuat laporan polis terhadap Shukri kerana didakwa menipu dalam pendakwaan terhadap Najib.

Najib juga memfailkan saman terhadap Shukri, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Amar Singh dan Peguam Negara Tommy Thomas atas dakwaan bersikap prejudis terhadapnya dalam siasatan skandal 1MDB.

Lokman membidas Shukri kerana menurutnya menyalahgunakan kedudukan untuk membalas dendam terhadap keluarga Najib dengan membekukan akaun bank mereka.

Walaupun telah dinafikan SPRM, beliau bertegas bahawa antara yang terkesan dengan tindakan itu termasuk cucu Najib yang berusia 10 bulan serta anak Najib, Puteri Norlisa yang kini menjalani rawatan kanser tahap empat.

"Saya tak tuduh SPRM secara keseluruhan tetapi saya berani cakap tindakan itu dibuat oleh Shukri," katanya lagi.


Tiada ulasan: