Ahad, 22 Julai 2018

BN sembunyi kos sebenar HSR

KEADILAN DAILY

 azmin ali

Kerajaan BN sebelum ini gagal mendedahkan kos tersembunyi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Banyak kos tersembunyi yang tidak didedahkan oleh kerajaan sebelum ini, maka kerajaan Pakatan Harapan bertanggungjawab untuk mendedahkan seluruh kos pembinaan projek berkenaan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Azmin berkata demikian sewaktu menjawab soalan Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang ingin tahu perubahan ketara dalam kos projek HSR.

Wee meminta penjelasan tentang kos HSR yang lebih RM110 bilion sedangkan ketika diumumkan sebelum ini ia hanya dalam anggaran RM55 bilion sehingga RM74 bilion.

“Saya terkejut apabila kos itu separuh (daripada jumlah) yang diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng,” kata timbalan presiden MCA itu.

Mengulas lanjut, Azmin berkata dia akan mengetuai rombongan ke Singapura untuk berbincang dengan kerajaan Singapura berhubung projek itu.

“Kita akan lihat di mana kemampuan kerajaan untuk biayai projek ini. Sekiranya projek ini tidak dapat dilaksanakan dalam suasana ekonomi hari ini, maka kerajaan akan ambil pendirian untuk bincang dengan kerajaan Singapura bagi memastikan semua terma-terma dalam perjanjian mesti dipatuhi,” katanya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum dilaporkan m menerima tawaran untuk mengurangkan kos projek HSR.

Walaupun belum menerima cadangan rasmi, Lim dilaporkan berkata bahawa projek yang dimulakan kerajaan terdahulu yang dianggarkan bernilai RM110 bilion adalah terlalu tinggi.

Tiada ulasan: