Rabu, 18 Julai 2018

Berusaha tunai janji manifesto, jika tidak dapat laksana perlu akui, kata Wan Saiful



Berusaha tunai janji manifesto, jika tidak dapat laksana perlu akui, kata Wan Saiful



Timbalan Pengarah Biro Strategik dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Saiful Wan Jan dipetik berkata, Pakatan Harapan akan tetap berusaha untuk melaksanakan semua janji yang terkandung dalam manifesto berkenaan.

Tetapi sekiranya ia tidak dapat dilaksanakan, ujarnya, pihak kerajaan perlu mengakuinya.

“Seboleh-bolehnya kita semua kena laksanakan, usaha. Jangan jadikan ‘perfection as the enemy of good’.

“Untuk selesaikan 100 peratus ia memang matlamat tetapi kita sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran.

“Paling penting ialah, kita kena ada komitmen untuk laksanakan dan itu yang kita sedang lihat sekarang.

“Di waktu yang sama, kalau tak boleh buat kita kena beritahu rakyat apa yang kita tak boleh buat,” ujarnya seperti dilaporkan Malaysiakini hari ini.

Wan Saiful yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebelum itu menghadiri seminar anjuran Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel) bertajuk Buku Harapan: Satu Dokumentasi Penyediaan Sebuah Manifesto di Universiti Malaya (UM) hari ini.

Wan Saiful yang terbabit dalam penulisan manifesto Pakatan Harapan juga dipetik berkata, ia bukan alasan untuk tidak melaksanakan perkara yang termaktub dalam Buku Harapan walaupun beliau bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir.

“Saya amat bersetuju dengan pandangan (Dr Mahathir) itu. Manifesto adalah panduan secara umum ke mana kita nak pergi.

“Dengan kekangan yang ada, saya sendiri sebagai penulis terfikir bahawa benda ini (janji-janji) susah sebab tak ada maklumat tentang apa yang boleh buat dan tak boleh buat.

“Apa yang disebut Tun (Dr Mahathir) itu penting untuk kita terapkan pemahaman kepada masyarakat bahawa dokumen ini panduan bagi kita.

“Mana yang boleh laksana kita boleh laksana, mana yang mencabar untuk dilaksanakan kita kena usaha, mana yang tak boleh laksanakan kita kena mengaku, inilah realitinya,” katanya.

Isnin lalu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  mengingatkan manifesto Paktan Harapan “bukan kitab suci” yang wajib dipatuhi sebaliknya ia hanyalah panduan.

Menurut Dr Mahathir, pihaknya perlu berfikiran praktikal dalam melaksanakan sesuatu perkara dan adakalanya ia menyebabkan manifesto mereka tidak dapat dipatuhi.

Tiada ulasan: