Isnin, 2 Julai 2018

Berlaku amalan politik wang dalam pemilihan, dakwa Ku Li



Berlaku amalan politik wang dalam pemilihan, dakwa Ku Li



Calon Presiden yang kalah, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa mendengar khabar angin mengenai tindakan calon tertentu membeli undi pada pemilihan parti kali ini.

Beliau yang tewas pada saingan merebut jawatan Presiden Umno semalam dipetik berkata, menzahirkan kebimbangan amalan politik wang dikhuatiri akan menjejaskan masa depan serta proses pembaharuan parti itu, jika khabar angin berkenaan benar.

Katanya, pengaruh wang dan rasuah menyebabkan individu yang layak dan berpotensi, gagal diketengahkan pada pemilihan kali ini kerana tidak berduit.

“Saya dengar berita yang tak berapa baik. Saya harap ini khabar angin dan tidak betul. Tapi saya dengar bahawa dalam pemilihan ini, banyak duit digunakan.

“Sepatutnya, kita sudah berhenti menggunakan wang dalam pemilihan parti. Ini adalah sogokan atau rasuah, membeli undi dan sebagainya.

“Kalau benar berlaku, dukacitalah kerana masa depan pimpinan parti ini akan bergantung pada duit juga (kerana amalan politik wang).

“Pengaruh duit yang sepatutnya dihapuskan, sudah bermaharajalela semula dalam politik tanah air, terutama politik Umno. Ini tidak akan berfaedah kepada sesiapa,” katanya ketika ditemui di majlis tahlil aktivis Islam, Allahyarham A Karim Omar malam tadi lapor Berita Harian.

Pada pemilihan pucuk pimpinan parti, Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diumumkan sebagai Presiden Umno yang baharu, selepas menewaskan Tengku Razaleigh dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin serta dua lagi calon.

Ditanya keputusan pemilihan itu, Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang secara sinis berkata, ia keputusan yang bagus jika khabar angin yang didengarnya tidak benar.

“Kita harap dihentikan jika berlaku mainan duit untuk mempengaruhi mereka yang berhak memilih kerana ini akhirnya menjadi barah, boleh merosakkan bukan saja parti politik tapi juga masyarakat,” katanya.

Ditanya mengenai apa akan dilakukannya selepas ini, veteran Umno itu berkata, beliau mahu berehat memandangkan sudah mencecah usia 81 tahun, selain berada dalam arena politik selama 60 tahun.

Dalam perkembangan lain, Tengku Razaleigh menafikan beliau antara pemilik 900 akaun yang mempunyai kaitan dengan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibekukan Pasukan Petugas Khas 1MDB.

“Memang patut disiasat. Tengok dalam senarai (dakwaan pemilik akaun dibekukan SPRM) itu termasuk nama saya. Saya tak ada hubungan langsung.

“Saya tak tahu juga (sama ada akaun Umno Bahagian Gua Musang dibekukan), biasanya daripada ibu pejabat. Setahu saya, tak adalah,” katanya.

Tiada ulasan: