Anggota Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) lantikan politik dan ‘tiket Umno’ perlu meletakkan jawatan masing-masing dengan segera selepas Barisan Nasional (BN) tidak lagi memerintah negara.
Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad berkata jawatan tersebut akan diganti dengan anggota Parlimen yang mempunyai kelayakan dan dengan persetujuan DBKL.
“Semua Anggota Parlimen di Kuala Lumpur perlu diberikan peranan yang sewajarnya dalam DBKL kerana telah dipilih oleh rakyat pada pilihan raya umum Ke-14.
“Keputusan ini diambil selepas perbincangan dengan semua Anggota Parlimen di kawasan Kuala Lumpur yang mengadu terdapat projek yang dilaksanakan DBKL itu dilakukan di luar pengetahuan mereka sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut," katanya pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan perbincangan dengan 10 Anggota Parlimen di Kuala Lumpur mengenai isu-isu pembangunan dan pengurusan di bandar raya ini. Anggota Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Kamaruddin Jaafar hanya menghantar wakilnya.
Khalid berkata isu-isu yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut akan dikemukakan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz pada pertemuan Jumaat ini selain menyediakan kertas cadangan untuk dibawa ke mesyuarat kabinet bagi pertimbangan selanjutnya.
Khalid yang juga Anggota Parlimen Shah Alam turut bercadang untuk meminta DBKL mengadakan pertemuan sekali sebulan bersama Anggota Parlimen di Kuala Lumpur selain melantik mereka sebagai ahli lembaga penasihat DBKL.
Sementara itu, Khalid berkata beliau juga akan mengkaji semula kontrak-kontrak serta dasar sedia ada bagi memastikan kelancaran serta tiada unsur penyelewengan.
“Antaranya KL City Plan yang masih belum digazetkan akan dikaji semula dan perbincangan dengan pihak berkaitan akan dilakukan dengan segera.
“Beberapa projek yang menimbulkan pertikaian dan tanda tanya rakyat juga akan dibincangkan.. jualan tanah yang menimbulkan keraguan juga akan diambil tindakan segera oleh pihak berkewajipan,” katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan