DETIK DAILY
Oleh AMRAN AHMAD NOR
Lebih setahun yang lalu, saya pernah
menulis mengenai berbijaksana dalam mendepani Tun Dr Mahathir Mohamad
dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Bagi saya, pada ketika itu, jika Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit
Siang dan Mohamad Sabu yang pernah 'dilanyak' teruk oleh Mahathir semasa
era pemerintahannya boleh menghulurkan salam kerjasama, kenapa tidak
kita?
Hari ini, isu yang sama berbangkit dengan beberapa pihak masih
mengungkit segala 'kesalahan' dan tahap ketidakpercayaan pada Mahathir
dengan media arus perdana terus menggunakan 'insan-insan terpilih' untuk
tujuan mengadu domba.
Memang media arus perdana yang dimiliki oleh parti-parti politik
kerajaan akan mengambil kesempatan daripada isu seperti ini untuk
menunjukkan ketidakstabilan serta pepecahan di kalangan ahli serta
pemimpin HARAPAN.
Hakikatnya, tidak pernah sekalipun mana-mana pemimpin pembangkang
atau Pakatan Harapan (HARAPAN) meminta para ahli atau penyokongnya untuk
memaafkan atau percaya kepada Mahathir.
Persetankan musuh politik
Tidak pernah Anwar, Kit Siang, Guan Eng atau Mat Sabu paksa mana-mana
ahli untuk meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada Mahathir kerana
tidak mungkin 'dosa-dosa' Mahathir boleh lenyap dalam sekelip mata.
Malah, Mahathir sendiri yang telahpun meminta maaf sebelum ini juga
tidak pernah meminta ahli-ahli HARAPAN untuk mempercayai beliau.
Apa yang Mahathir minta ialah gandingan semua pihak dalam pembangkang
untuk bersama beliau dalam gelombang menumbangkan Umno dan BN dalam PRU
ke-14 atas alasan untuk menyelamatkan Malaysia.
Kerap kali Mahathir dipetik sebagai berkata, beliau sendiri tak
pernah kisah digelar 'mahafiraun' atau 'mahazalim' dengan tidak menyaman
mana-mana pihak yang menggelarkan beliau sedemikian.
Mahathir berkata, beliau cukup faham bahawa ia adalah permainan
politik dan beliau juga bertindak 'mempersetankan' musuh-musuh
politiknya terutama Anwar dan DAP suatu ketika dahulu sehingga imej
kedua-duanya tercalar teruk.
Tetapi, itu dahulu, dan kini, kerana mahu menumbangkan Umno dan Datuk
Seri Najib Razak dari jawatan nombor satu negara, Mahathir sanggup
menyertai musuh-musuh politiknya walaupun tidak dapat dipastikan sama
ada dendam itu masih membara antara keduanya.
Tujuannya satu iaitu bergandingan untuk menumbangkan Umno, BN dan
Datuk Seri Najib Razak pada PRU14 dan bukannya agar para penyokong
HARAPAN percaya Mahathir ini baik, Mahathir ini tidak pernah melakukan
kesalahan atau Mahathir ini sudah bertaubat.
Lupakan kisah lama
Begitu juga dengan pimpinan HARAPAN seperti Anwar, Kit Siang, Guan
Eng dan Mat Sabu yang sanggup melupakan kisah-kisah lama demi menjayakan
matlamat utama menumbangkan Umno dan BN pada pilihan raya umum kali
ini.
Justeru, soal percaya Mahathir atau tidak bukan sahaja tidak perlu
ada malah tidak payah untuk diungkitkan kepada media arus perdana
terutama berpaksikan dendam lama atau prasangka bahawa Mahathir mahu
anaknya menjadi perdana menteri.
Yang pasti, bukan mudah untuk HARAPAN menumbangkan Umno yang sekian
lama berkuasa dengan dana PRU ke-14 yang bukan sedikit dan pakatan
pembangkang memerlukan dambaan, sokongan dan kerjasama semua untuk
mencapai matlamatnya.
Faktanya ialah hampir separuh daripada 52 kerusi Parlimen yang akan
ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dimenangi oleh BN
dengan majoriti lebih 4,000.
Fakta juga bahawa PKR hanya selamat di 30 kawasan dari 51 kerusi
Parlimen yang ditandinginya manakala Parti Amanah Negara (AMANAH) yang
mendapat 27 kerusi tidak tahu nasibnya.
Entah menang, kalah
Sedarilah, walaupun hari ini Mahathir bersama pembangkang membentuk
HARAPAN yang menjadi alternatif terbaik untuk berdepan BN pada PRU
ke-14, ia bukan faktor yang boleh menjamin kemenangan.
Buat apa nak bergaduh siapa perdana menteri, siapa timbalan perdana
menteri atau siapa dalam kabinet bayangan dan sama ada kita perlu
percaya Mahathir atau tidak sedangkan hanya kerja kuat dan kesatuan
semua pihak dapat menentukan potensi kemenangan.
Entah menang entah tidak, tetapi pihak-pihak yang bertelagah mengenai
isu siapa patut jadi perdana menteri, nak meluat pada Mahathir
selamanya atau tidak sepatutnya diam, mula berfikir dan bekerjasamalah
jika mahu menumbangkan Umno.
Sedarilah semua, jika Mahathir sendiri yang kini berusia lebih 90
tahun dengan kedekat yang tidak seberapa tidak dapat menumbangkan Umno,
maka anggaplah sahaja kerajaan itu Umno dan Umno itu kerajaan selamanya.
AMRAN AHMAD NOR adalah bekas pengerusi NUJ
cawangan Utusan Melayu dan masih menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor,
bekas presiden CUEPACS dan naib pengerusi DAP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan