Jumaat, 12 Januari 2018

`Tiada pekeliling larang ke sekolah' - Imigresen

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia menafikan pernah mengeluarkan pekeliling menghalang kanak-kanak tanpa warga negara memasuki alam persekolahan.
 
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata semua kanak-kanak berstatus demikian dibenarkan mendaftar masuk ke sekolah apabila semua dokumen yang diperlukan Kementerian Pendidikan, disediakan.
 
"Saya tegaskan bahawa Jabatan Imigresen tidak pernah mengeluarkan sebarang pekeliling yang menghalang kanak-kanak tanpa warga negara memasuki persekolahan," katanya dalam satu kenyataan.
 
Ia susulan laporan media, baru-baru ini, berhubung tindakan Jabatan Imigresen melarang kanak-kanak bernama Darshana, 7, di Seremban daripada menghadiri sesi persekolahan kerana tidak mempunyai pasport yang membuktikan negara asalnya.
 
Pada 6 Januari lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid membenarkan kanak-kanak terbabit memasuki sekolah awam walaupun permohonan untuk kewarganegaraan sedang dalam proses.
 
 

Tiada ulasan: