SUHU politik negara kita sekarang ini sedang menaik,
seiring dengan tempoh PRU yang semakin mendekat. Mengambil maklum
bahawa perlunya kesedaran dalam kalangan rakyat dipertingkatkan, suka
saya mengajak tuan-puan untuk membaca secebis cerita teladan yang
mungkin akan memberikan sedikit pengajaran kepada mereka yang mahu
berfikir. Kisahnya begini…
Di sebuah kampung, tinggal seorang peruncit tua yang mempunyai
beberapa orang pekerja. Kedai runcitnya agak kecil, tetapi yang
menariknya, ia mempunyai banyak barangan keperluan. Strategi jualannya
adalah bagi membantu orang kampung untuk mendapatkan bekalan. Manakala
keuntungan yang diambil cukup bagi membayar kos dan sedikit keuntungan
yang sederhana. Pendek kata, dia tidak mengejar kekayaan yang melampau.
Strategi peruncit tua ini ditentang oleh beberapa pekerja-pekerjanya
dan juga saudara mara yang terdekat. Ini bagi mereka, seharusnya
keuntungan dilipatkan bagi menjamin kehidupan yang lebih selesa pada
masa depan, tanpa mengira masalah orang kampung yang memerlukan bekalan.
Mereka mahu berhenti kerja, tetapi kerana di situ juga kurang terdapat
peluang kerja, maka hasrat untuk berhenti dari kedai itu ditangguhkan.
Hasrat yang sudah lama terpendam itu akhirnya berjaya dilaksanakan
apabila datang seorang kaya yang dikira sangat berjaya di dalam
perniagaan, datang ke kampung itu, mengajak orang ramai menyertai
perniagaan hypermarketnya. Dengan syarat mereka mestilah mengeluarkan
wang belanja kepada orang kaya itu sebagai kononnya modal perniagaan
mereka. Peluang yang terbuka ini digenggam seeratnya oleh para pekerja
kedai runcit itu. Maka berbondong-bondonglah mereka meletakkan jawatan
sebagai pekerja kedai itu dan mengikut orang kaya yang menjanjikan
kejayaan dan kekayaan dalam perniagaan baru mereka, sambil mulut mereka
terkumat-kamit menghina tuan kedai runcit itu sebagai orang tua yang
tidak tahu berniaga, bodoh, tak fikir untung, tiada wawasan dan
sebagainya. Berhabis harta mereka mengeluarkan modal kepada orang kaya
itu.
Yang tinggal ialah pekerja yang masih dedikasi, mempercayai
perniagaan bukanlah hanya keuntungan sahaja, tetapi lebih utama
tanggungjawab sosial yang wajib dilaksanakan. Apatah lagi keadaan
penduduk kampung yang daif itu. Teruslah mereka bersama peruncit tua itu
menjalankan perniagaan mereka seperti biasa. Dan tidaklah terjejas
tugasan mereka kerana tidaklah sehebat mana mereka yang berhenti kerja
itu walaupun mengaku pandai banyak hal. Akhirnya kedai runcit kecil itu
semakin mendapat sambutan setelah orang kampung tidak mampu membeli di
hypermarket itu kerana harganya sentiasa berubah-ubah dan dengan promosi
palsu yang membingungkan mereka kerana pengurusan yang tidak betul.
Setelah setahun, kedai runcit yang kecil itu menerima kemasukan
untung sebanyak lebih RM40,000 setahun, satu jumlah yang sangat besar
bagi kedai runcit walaupun sudah meminimumkan untung dan walaupun puas
difitnah oleh bekas pekerjanya dan juga orang kaya itu. Ini adalah
kerana kepercayaan orang kampung. Dan sebaliknya, projek hypermarket
yang menjanjikan keuntungan dan kekayaan tidak dimaklumkan berapakah
jualannya kerana kerugian sentiasa. Bekas pekerja kedai runcit itu yang
dahulunya berjanji akan membekalkan sebanyak 130 jenis barangan yang
sama asli dengan kedai runcit itu kepada orang kampung, hanya mampu
membekalkan 27 jenis barangan tiruan sahaja. Itupun dengan ihsan oleh
orang kaya itu. Manakala barangan lain diambil oleh orang lain. Walaupun
tidak berpuashati, tetapi sebagai kuli, mereka tidak mampu melawan.
Apalagi dengan modal mereka masih bersama orang tua yang kaya itu.
Mereka mendiamkan diri sahaja.
Setelah lama dan masih kerugian, maka sedikit demi sedikit kisah
orang kaya itu tersebar. Rupa-rupanya orang kaya tua itu adalah seorang
bekas penipu di kampung itu juga yang kini kembali aktif menipu. Namun
begitu, dia masih meneruskan penipuannya dengan memberi jaminan yang dia
sudah bertaubat dan menjanjikan keuntungan yang lebih jika dia
dikekalkan sebagai pengurus perniagaan itu. Mereka mempercayai orang tua
itu dan diadakan majlis melantik orang tua penipu itu sebagai pengurus
besar mereka sekali lagi. Orang kaya penipu itupun menangis kegembiraan
di atas kepercayaan orang ramai itu.
Begitulah secebis kisah rekaan yang mungkin boleh dijadikan teladan
kepada rakyat bagi menilai pasukan manakah yang patut diberikan
kepercayaan bagi menerajui rakyat. Cara scammer perniagaan atau politik
menjalankan tipu daya mereka amatlah mudah dikesan. Orang yang mudah
terpedaya ialah orang yang tamak dan gila harta sehinggakan menjadi
seperti orang bodoh. Bodoh ditipu scammer perniagaan biasanya sekali
sahaja atas seorang penipu kerana dia tahu orang ramai akan mengenali
dia jika sekali lagi menipu. Tetapi bodoh orang politik yang tamak boleh
jadi berganda kerana walaupun muka, tubuh dan otak yang sama oleh si
penipu, mereka tetap menerima penipu yang sama itu berulang kali kerana
janji kuasa. Selamatkan diri anda daripada menjadi mangsa kebodohan
berganda.
* YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ketua Penerangan PAS Terengganu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan