Jumaat, 26 Januari 2018

PPBM: Kalau parti baru tiada pengaruh, kenapa RoS belum luluskan PH?

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: "Parti kami tidak 'ambil peduli' dengan pandangan Tengku Razaleigh Hamzah," kata Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamaruddin Md Noor.
 
Pandangan itu susulan kenyataan Tengku Razaleigh atau Ku Li sebelum ini bahawa calon pilihan raya yang tidak berpengaruh akan menyebabkan berlakunya lebih banyak pecah undi yang kemudiannya memberi kelebihan pada Barisan Nasional (BN) untuk menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Umum mengetahui PPBM dan Amanah adalah dua parti baru yang belum diuji dalam mana-mana PRU dan majoriti calon yang bakal diturunkan adalah 'muka baru'.
 
"Tiada apa-apa rasa, kalau budak-budak kata 'tak ambil port'," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Bagaimanapun dakwanya, Pakatan Harapan (PH) adalah gabungan 'berpengaruh', di mana buktinya sehingga kini Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) masih belum meluluskan pendaftaran gabungan itu bagi membolehkan mereka bertanding di bawah satu logo pada PRU14.
 
"Pakatan Harapan telah memohon untuk didaftar sebagai satu parti gabungan untuk menghadapi PRU akan datang.
 
"Sehingga sekarang ini masih belum mendapat apa-apa jawapan daripada pihak RoS sama ada meluluskan atau menolak permohonan itu.
 
"Kalau betul Ku Li berkata parti pembangkang yang baru ditubuh tidak ada pengaruh, jadi kalau begitu apa yang kerajaan risau sangat?, luluskan sahaja pendaftaran PH oleh kerana kita 'tiada pengaruh' dan parti lemah," katanya lagi.
 
Terdahulu Ku Li dalam satu kenyataannya berkata penyertaan banyak parti yang bertanding pada PRU14 akan memberi kelebihan kepada BN untuk memenanginya.
 
Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata ini kerana parti yang bertanding itu bakal berdepan dengan pecahan undi terutama apabila calonnya yang tiada pengaruh.
 
Malah ujarnya parti pembangkang yang bakal bertanding pada PRU14 adalah daripada serpihan parti asal yang belum mendapat keyakinan rakyat khususnya penduduk luar bandar untuk menyokong parti tersebut.
 
Sementara itu, seorang pemimpin Amanah pula menganggap pandangan ahli politik veteran itu sebagai satu bentuk 'nasihat' kepada parti yang baru ditubuhkan kurang tiga tahun itu.
 
Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir berkata Amanah tidak merasa tergugat dengan 'amaran' Ku Li tersebut malah yakin dengan kemampuan calon partinya yang bakal beraksi pada PRU kali ini.
 
"Sebagai seorang ahli politik yang agak lama, saya rasa dia (Ku Li) mempunyai pembacaannya yang tersendiri, tapi kita hormat sesiapa juga yang mengeluarkan pendapat.
 
"Saya tidak berasa tergugat, apa nak tergugatnya kami (Amanah) parti yang akan menganjak ke usia tiga tahun (penubuhan) dan perkembangan kami sangat memberangsangkan.
 
"Parti yang tidak sampai umur tiga tahun ini sudah dijangka akan bertanding dengan lebih daripada 27 kerusi, mungkin ada lagi di Sabah dan Sarawak walhal kita tidak sampai tiga tahun," katanya lagi. 


Tiada ulasan: