PKR tak bimbang ahli parti tolak Dr Mahathir jadi PM
DETIK DAILY
Oleh Nabihah Hamid
NAIB Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, bantahan dari kalangan
pemimpin parti itu ke atas pencalonan Dr Mahathir Mohamad sebagai
perdana menteri bukanlah satu perkara yang perlu dibimbangkan.
Katanya, PKR meraikan bantahan tersebut dalam semangat kebebasan
bersuara dan kini tiba masa untuk memfokuskan kepada pilihan raya.
Ahli parti perlu bersatu demi memastikan kemenangan Pakatan dalam
pilihan raya umum ke-14 kelak, kata ahli Parlimen Pandan itu lagi.
"Itu pendapat dan hak masing-masing. Ada ketika dan cara dia
menyampaikan pendapat. Dalam tempoh beberapa hari kalau ada nyatakan
perbezaan pendapat, tiada masalah. Kita bukan macam BN tidak boleh suara
pendapat.
"Mereka (yang berbeza pendapat) faham keputusan telah dibuat dan kita
perlu rapatkan saf (bersatu). Kalau ada yang melahirkan rasa kurang
bersetuju itu hak mereka.
"Tapi saya tak rasa bahawa perkara itu perkara besar boleh
menjejaskan persediaan pilihan raya kita. Saya rasa kita patut fokus PRU
dan tinggalkan hal ini," katanya
Dalam nada serupa, Ketua Pemuda Pakatan Harapan Nik Nazmi Nik Ahmad
juga mengajak anggota parti itu untuk maju dan tidak terus dibuai
perasaan
"Marilah kita bergerak ke hadapan. Masing-masing pulang ke kawasan
masing-masing bagi memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan di
kawasan mereka.
"Berbekalkan agenda yang digariskan dalam Muafakat Pakatan Harapan,
kita sudah ada kerangka dasar untuk membersihkan negara dan mengangkat
martabat rakyat," kata Nik Nazmi dalam kenyataan bersama dikeluarkan
Majlis Pimpinan Pemuda Pakatan Harapan.
Kenyataan itu memateri sokongan mereka untuk menamakan Dr Mahathir
sebagai calon perdana menteri dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon
timbalan perdana menteri membuktikan kesungguhan Pakatan Harapan untuk
menggantikan pentadbiran Najib Razak.
Kenyataan itu ditandatangani Ketua Pemuda Amanah Mohd Sany Hamzan,
Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Rahman serta Ketua Pemuda Sosialis
DAP Wong Kah Woh.
Pendirian itu muncul susulan kenyataan PKR Selangor yang kecewa dengan pengumuman Dr Mahathir sebagai perdana menteri.
Dalam kenyataan itu, ketua penerangan PKR Selangor, Hizwan Ahmad
antara lain membangkitkan mengenai pengorbanan penyokong gerakan
Reformasi yang memerah “keringat, darah dan air mata”.
Maka pemimpin parti sepatutnya mengutamakan ketua umum mereka Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri, kata Hizwan.
Bantahan ke atas pencalonan Dr Mahathir itu turut disuarakan Ketua
Wanita PKR Zuraida Kamaruddin yang berpendapat Pengerusi Bersatu itu
lebih layak menjadi menteri kanan dan bukannya perdana menteri.
Ahli Parlimen Ampang itu berkata dengan pengalaman luas sebagai
perdana menteri selama 22 tahun sebelum ini Dr Mahathir tidak seharusnya
menjawat jawatan itu semula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan