Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
SHAH ALAM: Penganalisis politik menyifatkan langkah PKR yang mungkin
melakukan rombakan terhadap beberapa kerusi yang bakal ditandingi pada
pilihan raya akan datang, kerana mahu memenangi lebih banyak kerusi
sekaligus mendominasi Pakatan Harapan (PH).
Edwin Michael berkata, lebih-lebih lagi kawasan pengundi muda dijangka
akan diberi perhatian lebih oleh PKR, selain kelompok itu bakal menjadi
penentu parti yang mana satu akan menjadi kerajaan.
"Ini juga merupakan taktik politik kerana PKR perlu menguasai sebanyak
mungkin kerusi Parlimen kerana dalam PH ada DAP, Amanah, PPBM. Jadi
mereka perlu mendapatkan sebanyak mungkin kerusi, (dengan) mereka perlu
lakukan perubahan drastik dengan meletak calon yang mereka boleh
menang," katanya kepada Antarapos.
Bukan itu sahaja, Edwin berpendapat PKR sedang memancing 'mood'
pengundi dengan meletakkan muka baru dalam usaha 'memperdaya' rakyat
bahawa calon berkenaan mampu melaksanakan tugas lebih baik berbanding
penyandangnya.
"Jadi untuk menaikkan balik semangat pengundi-pengundi di situ, adalah lebih baik letakkan calon yang baru.
"Mentaliti penduduk-penduduk di situ akan ada satu 'mindset' bahawa
kita ada calon baru dan (fikir) mungkin calon ini yang akan buat kerja
lebih baik daripada calon yang terdahulu berbanding yang sebelum ini.
Jadi ini adalah salah satu strategi politik mereka," ujarnya.
Kelmarin, media melaporkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed
Azmin Ali dijangka tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Gombak,
sebaliknya akan diletakkan di Parlimen Shah Alam dalam PRU14.
Selain itu, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin pula dipindahkan dari Parlimen Ampang ke Hulu Langat.
Untuk rekod, kerusi Hulu Langat dan Shah Alam dimenangi PAS pada PRU13 yang ketika itu masih bersama-sama pakatan pembangkang.
Kerusi Parlimen Shah Alam dimenangi Khalid Abdul Samad atas tiket PAS
selepas beliau menewaskan calon BN Zulkifli Noordin dengan majoriti
10,939 undi. Khalid kini menyertai Amanah, parti serpihan PAS.
Sementara itu kerusi Parlimen Hulu Langat dimenangi Che Rosli Che Mat
juga daripada PAS yang mengalahkan calon BN, Adzhaliza Mohd Nor dengan
majoriti 17,267 undi.
Ketika ditanya, adakah PAS akan memberi laluan mudah kepada PKR, Edwin
berkata beliau percaya ia akan menjadi satu pertembungan yang sengit
antara dua parti itu.
Sekaligus mewujudkan pertandingan tiga penjuru, yang boleh memberi kelebihan kepada Barisan nasional (BN).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan