LIMA tahun lalu, parti-parti pembangkang bertelagah berhubung
pembahagian kerusi sampai ke saat-saat akhir pada malam penamaan calon.
Tetapi kali ini, PKR, Bersatu, DAP dan Amanah sudah menyelesaikan
masalah pembahagian kerusi itu lama sebelum Parlimen dibubarkan.
Ini satu pencapaian bagi sebuah gabungan yang disifatkan "bertelagah" oleh pemerhati dan penganalisis politik.
Menurut mereka muafakat empat parti dalam Pakatan Harapan (PH) itu
untuk bersetuju mengenai pembahagian kerusi serta calon perdana menteri
dan timbalan perdana menteri merupakan satu pencapaian yang besar.
Ia menunjukkan betapa sukar dan bersungguhnya mereka untuk
menyelesaikan isu-isu ini sebelum Konvensyen PH yang kedua semalam, kata
felo pelawat kanan di Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS), Wan Saiful
Wan Jan.
"Mengagumkan bagaimana PH dapat mencapai persetujuan mengenai PM, TPM
dan pembahagian kerusi kerana propaganda yang disebarkan ialah mereka
ini berpecah.
"Jelas mereka cuba sedaya upaya untuk membuktikan mereka ini bersatu.
Dan hari ini menunjukkan mereka boleh menguruskan kepelbagaian dalam
pakatan itu," tambah Wan Saiful, yang hadir sebagai pemerhati pada
konvensyen di Shah Alam semalam.
Merenung ke depan, pengasas IDEAS ini berkata PH masih ada banyak
halangan yang perlu diatasi kerana ia sangat berbeza berbanding Barisan
Nasional (BN) yang memerintah.
"Kalau kita lihat secara objektif, ada perbezaan yang ketara bagaimana BN dan PH diurus.
"BN dikendalikan oleh Umno yang dominan manakala PH melalui rundingan
antara parti-parti yang setara. Menguruskan perbezaan tentulah bukan
sesuatu yang mudah," kata Wan Saiful.
Selepas beberapa rundingan yang sukar, Dr Mahathir Mohamad akhirnya
disahkan sebagai calon perdana menteri PH manakala Presiden PH, Dr Wan
Azizah Wan Ismail dinamakan sebagai calon timbalan perdana menteri.
Setiausaha PH, Saifuddin Abdullah turut mengumumkan pengagihan kerusi
Parlimen bagi kawasan-kawasan pilihan raya di Semenanjung Malaysia.
Bersatu akan bertanding 52 kerusi sementara PKR mendapat 51 manakala DAP 35 dan Amanah 27.
Minggu lalu, Merdeka Center for Opinion Research meramalkan
BN dan Perdana Menteri Najib Razak akan menang Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14) kerana pertandingan tiga penjuru selepas PAS berpecah daripada
PH.
Pengarah Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata muafakat ini satu
pencapaian yang memberangsangkan bagi pakatan yang baru setahun jagung
itu.
"Pakatan pembangkang tidak pernah ada kata sepakat dalam pembahagian
kerusi atau tentang soal calon PM sepanjang mereka menjalin kerjasama.
Mereka sudah mengatasi cabaran besar dengan berjaya," kata Hisommudin
yang selepas konvensyen semalam berakhir.
Namun penganalisis politik lain memberi amaran semua yang dicapai ini
akan buntu sekiranya pemimpin PH tidak dapat meredakan keresahan
penyokong mereka.
"Jika mereka gagal menenangkan penyokong di akar umbi, semua hasil
kerja yang baik ini akan musnah, dan itu akan jadi satu cabaran baru,"
tambah Hisommudin.
Cabaran utama yang dihadapi oleh PH ialah bagaimana hendak memastikan
dapat undi daripada pengundi Melayu, kata pensyarah Universiti Islam
Antarabangsa, Maszlee Malik.
"Cabaran sebenar Bersatu ialah memastikan berlakunya tsunami Melayu
kerana merekalah harapan terbaik PH untuk perkara itu berlaku.
"Ia bukan saja perlu memenangi hati pengundi Melayu tetapi cabaran
paling besar ialah meyakinkan orang Melayu yang PAS sudah tidak lagi
relevan dalam pilihan raya akan datang," katanya.
Penyelidik di Institut Pulau Pinang, Dr Wong Chin Huat berkata
pengaruh Dr Mahathir menjadikan pakatan pembangkang itu dilihat
menyeluruh dan berdisiplin.
"PH sebenarnya sebuah pakatan yang menyeluruh berbanding semua
gabungan pembangkang yang pernah ada sebelum ini, yang disertai oleh
musuh-musuh Dr Mahathir tetapi bukan Dr Mahathir sendiri," kata Wong.
"Pakatan ini merentas ideologi yang luas daripada Bersatu sampailah
kepada DAP, yang mempunyai pendirian yang berbeza atas isu-isu seperti
DEB.
"Ini boleh berlaku kerana krisis nasional yang lebih besar di bawah
Najib. Ini menjadi asas rundingan untuk satu kontrak sosial yang baru,
menggantikan apa yang ada selepas 1969," kata Wong.
Wong percaya apabila semuanya selesai, Malaysia mungkin akan jadi
lebih stabil dan ada persaingan antara pelbagai parti yang lebih sihat.
Pemimpin DAP, Liew Chin Tong yang terlibat dalam rundingan pengagihan
kerusi berkata pembahagian kerusi pada pilihan raya umum yang lalu
bersejarah kerana rundingan berjalan sehingga malam pencalonan.
"Itu sebabnya ada pertandingan tiga penjuru di Kota Damansara dan Semenyih," kata Liew yang ditemui pada konvensyen semalam.
Katanya, pembahagian kerusi lebih awal membolehkan calon-calon,
jentera dan pengundi tahu apa yang boleh diharapkan lama sebelum pilihan
raya tiba.
"Lihat semasa 2008 misalnya. Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng bersetuju
tentang pembahagian kerusi seawal 9 Januari (tiga bulan sebelum pilihan
raya) dan itu satu faktor penting kemenangan pembangkang di Pulau
Pinang.
"Kepastian tentang jumlah kerusi dan pimpinan itu kesannya besar.
Kita ada kepimpinan yang pasti berbanding kepimpinan BN yang lemah di
Pulau Pinang," kata Liew.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan