Khamis, 25 Januari 2018

‘Henti burukkan Syiah, Asri perlu buktikan Syiah ancam negara’

 
Ahli akademik dan aktivis mempersoalkan kenyataan mufti Perlis baru-baru ini yang mengutuk pengikut Syiah.


ahmad-farouk-musa-mohd-asri-daesh-militan

PETALING JAYA: Ahli akademi dan aktivis terkemuka mempersoalkan kenyataan mufti Perlis baru-baru ini mengutuk pengikut Syiah dan menggesa beliau membuktikan mazhab itu mengancam keselamatan negara.

Mereka berkata, individu yang ditahan atas dakwaan keganasan bukan pengikut Syiah, tetapi ialah penyokong IS, di mana doktrinnya adalah cabang kepada ideologi Wahabi yang diamalkan Arab Saudi.

Ahli akademik dan sarjana Islam, Datuk Dr Ahmad Farouk Musa berkata, hanya ada sedikit perbezaan antara IS dan Arab Saudi.

“Tiap-tiap penyelidikan menunjukkan IS, pengganas paling ganas atas nama Islam, muncul dari doktrin Wahabisme,” katanya kepada FMT.

“IS yang juga dikenali sebagai Daesh Hitam, sebenarnya berasal dari Daesh Putih, kerajaan Arab Saudi,” kata pengkritik Islam lantang itu yang mengetuai Islamic Renaissance Front.

“Mereka mengelar leher, membunuh, merejam, memusnahkan warisan masyarakat umum dan menghina arkeologi, wanita dan orang kafir. Daesh Putih mungkin berpakaian lebih baik dan kemas, tetapi mereka melakukan perkara sama.”

Ia selepas Datuk Mohd Asri Zainul Abidin mempertahankan dirinya daripada dakwaan pihak berkuasa agama Perlis mungkin terlibat dalam kehilangan aktivis, Amri Che Mat yang pernah dipanggilnya untuk menyoal kecenderungannya terhadap ajaran Syiah.

Isnin lalu, isteri Amri, Norhayati Ariffin memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang menyiasat kehilangan misteri suaminya, Asri bersama 20 anggota polis dan pegawai Jabatan Mufti Perlis menyerbu rumah mereka di Kangar pada 2015.

Asri mengakui beliau pernah ke rumah Amri. Beliau kemudian mengeluarkan beberapa kenyataan mengecam pengikut Syiah sebagai suka memperdaya, dan menuduh Iran, sebuah negara majoriti Syiah, bekerjasama dengan kuasa Barat menentang orang Islam.

“Ini bukan isu kecil. Saya ulang, ia boleh mengancam keselamatan negara,” katanya kepada FMT dalam satu temubual pada Selasa lalu, sambil menambah aktiviti Amri di bawah pertubuhan amal Perlis Hope boleh menjadi sebahagian gerakan untuk menukar Malaysia sebagai “negara mullah”.
Farouk mempersoalkan pendirian Asri mengenai Iran.

“Dikatakan IS mempunyai seorang ibu: pencerobohan ke atas Iraq. Tetapi ia juga mempunyai seorang bapa: Arab Saudi dan kompleks industri agamanya. Jadi, untuk mendakwa Iran dan Syiah mempromosikan keganasan lari daripada fakta dan tidak boleh diterima.”

Farouk berkata, siasatan Asri terhadap kepercayaan Amri adalah tindakan menakut-nakutkannya dan tidak wajar untuk seseorang yang mempertahankan hak asasi manusia.

“Beliau patut sedar Artikel pertama dalam Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia ialah mengenai kebebasan hati nurani. Semua manusia dilahirkan bebas dan sama rata dari segi maruah serta hak.

“Sekarang, adakah tindakan menakut-nakutkan dan mengganggu seseorang itu berdasarkan hati nuraninya – walaupun beliau mengikuti doktrin Syiah minoriti – sejajar semangat hak asasi manusia? Dan sejak bila Syiah ialah doktrin menggalakkan keganasan?” soalnya.

Peguam hak asasi manusia, Eric Paulsen turut bersetuju.

Katanya, rakyat Malaysia yang ditahan kerana menyertai militan IS dan aktiviti pengganas lain di luar negara bukan pengikut Syiah.

Beliau yang mengetuai kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty berkata, Asri sepatutnya bercakap tentang “gajah di depan mata”.

“Siapa rekrut dan pesimpati IS, dan mengapa idea menyertai khalifah begitu menarik?” soalnya.

Asri sering mempromosikan ajaran Salafi, satu aliran Islam yang dikaitkan dengan ideologi Wahhabi yang lebih agresif yang menjadi ikutan di Arab Saudi.

Beliau sebelum ini membidas Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay, selepas pegawai tinggi anti-pengganas itu berkata karya sarjana kurun ke-13, Ibn Taymiyyah, menjadi ilham kepada ramai umat Islam ke arah ekstremisme.

Ahli sosiologi, Syed Farid Alatas dari Universiti Kebangsaan Singapura berkata, Asri perlu membuktikan dakwaannya dan menjelaskan bagaimana amalan Syiah yang didakwa diamalkan oleh Amri suatu ancaman kepada keselamatan negara.

“Tidak ada satu pun taifah yang mengancam keselamatan negara,” katanya kepada FMT.

“Mungkin ada pelampau dalam taifah tertntu dan dalam pemikiran tertentu, tetapi bukannya taifah itu. Kamu tidak boleh salahkan keseluruhan taifah itu.”

Beliau mempertikaikan hujah biasa pihak berkuasa agama Malaysia iaitu pengikut Syiah satu ancaman, dan berkata ada pelampau dalam kalangan pengikut Sunnah Wal Jamaah dan Syiah.

“Setakat ini, pihak berkuasa belum lagi membongkar sebarang ancaman Syiah kepada negara,” katanya.

Risalah Amman

Pihak berkuasa Islam di Malaysia menganggap pengikut Syiah sebagai “sesat” melalui satu fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1996.

Syiah merupakan aliran Islam ke-2 terbesar di dunia, dan paling berpengaruh di Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain dan beberapa kawasan di Arab Saudi serta Yaman.

Bekas diplomat, Datuk Redzuan Kushairi yang merupakan salah seorang anggota kumpulan G25, berkata terdapat keperluan untuk mengkaji perpecahan Ahli Sunnah Wal Jamaah-Syiah dari sudut pandang sejarah yang betul.

Redzuan berkata Risalah Amman, iaitu deklarasi oleh pemimpin Islam pada 2004 yang turut ditandatangani oleh beberapa tokoh Malaysia, merupakan usaha yang baik untuk menamatkan permusuhan antara mereka.

“Memandangkan keadaan geo-politik yang membimbangkan di Timur Tengah dengan peperangan dan penderitaan manusia yang menimpa orang Islam, dan Amerika Syarikat serta Israel selaku protagonis dalam konflik di sana, ada keperluan mendesak untuk menghidupkan semula semangat dan hasrat Risalah Amman,” kata Redzuan kepada FMT.

Beliau berkata Malaysia tidak sepatutnya terlibat memburuk-burukkan pengikut Syiah.

“Berapa ramai pengikut mereka di Malaysia dan bagaimana mereka menjadi ancaman kepada keselamatan negara?” katanya sambil menambah Malaysia perlu berwaspada tidak diheret ke kancah perebutan kuasa di Timur Tengah.

Tiada ulasan: