SEKURANG-kurangnya terdapat dua sebaran maya yang
memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menggunakan botol/bekas
plastik kerana menjadi punca kepada kanser. Amaran pertama adalah
larangan dari menggunakan bekas plastik ketika menyediakan juadah
minuman dan makanan. Begitu juga larangan memasukkan botol plastik dalam
mikrowave kerana ia mengundang 52 jenis kanser. Sebaran kedua mengenai
amaran dari seorang selebriti TV, Sheryl Crow yang kononnya pengidap
kanser payudara supaya masyarakat tidak menggunakan botol plastik semasa
meminum air, terutama sekali botol plastik air mineral yang terdedah
atas dashboard kereta.
Saya
terus membuat sedikit selidikan mengenai perkara tersebut. Saya menemui
kenyataan dalam laman Youtube.com dari Sheryl Crow. Beliau telah
membuat penafian sejak 2009 lagi. Malah selebriti Sheryl Crow berkenaan
tidak pun menghidap kanser payudara akibat dari meminum air dari botol
plastik.[1] Sebaran maya yang tidak bertanggungjawab itu cuba mengaitkan
penggunaan botol plastik kitar semula mengandungi dioxin. Dioxin adalah
salah satu bahan kimia yang dilepaskan dari botol plastik apabila
mengalami perubahan suhu ektrem sama ada terlalu panas atau sejuk, dan
ia dikaitkan sebagai agen pencetus kanser (carcinogenic).
Selain tokoh selebriti, terdapat juga sebaran maya yang cuba
memalitkan universiti tersohor seperti Johns Hopkin yang kononnya
mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan kanser dan penyebabnya. Penafian
juga dibuat oleh Johns Hopkin.[2] Banyak lagi sebaran berita palsu lain
yang disebarkan tanpa sebarang objektif dari para penyebar maklumat.
Dalam isu yang sama, laman web rasmi cancerresearchuk.org juga
mengeluarkan kenyataan penafian.[3] Mereka menyatakan, terdapat kajian
bahawa sejumlah kecil bahan kimia akan terperangkap dalam botol air
minuman semasa proses pengilangan. Tetapi jumlahnya terlalu rendah.
Kajian pengesahan telah dilakukan, botol plastik dipanaskan pada suhu
60⁰C (140⁰F) beberapa jam, paras bahan kimia yang terlepas ke dalam air
dari dinding botol amat rendah dan selamat digunakan.
Botol plastik yang dijual biasanya dibuat dari plastik bernama
polyethylene terephthalate (PET atau PETE). Ia senang digunakan kerana
ringan, senang buang, boleh kitar semula walau digunakan berkali-kali.
Dua bahan yang kononnya dilepaskan dari PET ini jika berada dalam
suhu sejuk; iaitu dioxin dan DEHA (diethylhydroxylamine). Namun dakwaan
mengatakan DEHA ini dilepaskan dari PET adalah tidak benar, kerana DEHA
tidak terlibat pun dalam campuran proses pembuatan botol plastik. Pun
begitu pada Jun 2003, Makmal Pusat Swiss telah mengesahkan dalam kajian
mereka bahawa DEHA tidak dijumpai dalam mana-mana botol plastik yang
dikitar semula. Dengan itu WHO juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa
kandungan DEHA (jika wujud pun) adalah terlalu kecil dan selamat
diguanakan botol plastik.[4] Isu ini juga disokong oleh Persatuan Kanser
Amerika dan International Agency for Research on Cancer (IARC). Mereka
menegaskan sekali lagi lagi bahawa DEHA bukan agen kanser.
Bagi dioxin pula, Majlis Kimia Amerika mengesahkan tiada kajian yang
mengaitkan dioxin dalam botol plastik penyebab kanser. Malahan, dakwaan
dioxin sebagai agen kanser juga tiada asas saintifik. Ini kerana dioxin
adalah satu bahan kimia yang hanya terurai dalam suhu yang terlalu
ekstrem melebihi 700⁰F (371.1⁰C). Terlalu amat sukar keadaan suhu yang
ektrem itu berlaku dalam sinaran panas dalam kereta.[4] Sudah tentu
kereta itu sendiri sudah terbakar dan meletup.
Sekian ulasan ringkas petang Rabu dari suhazeli.coM
fb.com/drsuhazeli, kuala Berang
Pautan:
[1] Penafian berkaitan Sheryl Crow hidap kanser. https://www.youtube.com/watch?v=YHKeRjoKMBI
[2] Penafian dari Johns Hopkin. http://www.hopkinsmedicine.org/kimmel_cancer_center/news_events/featured/cancer_update_email_it_is_a_hoax.html
[3] Kenyataan dari Cancerresearchuk. http://www.cancerresearchuk.org/about-cancer/causes-of-cancer/cancer-controversies/plastic-bottles-and-cling-film
[4] Isu botol plastik yang dikitar semula. http://www.snopes.com/medical/toxins/plasticbottles.asp
Tiada ulasan:
Catat Ulasan