Oleh ALANG IBN SHUKRIMUN
DUA puluh tahun dahulu, kalau saya katakan
Mahathir akan bersama DAP dan Lim Kit Siang, pasti anda akan kata saya
gila. Semua orang tahu macam mana bermusuhnya Mahathir dan Kit Siang.
Kalah anjing dan kucing.
Sepuluh tahun dahulu, kalau saya katakan Mahathir akan bersama
Anwar dan Mat Sabu, pasti anda katakan saya naif. Semua orang tak boleh
fikir macam mana orang yang pernah sumbat kedua ini dalam penjara boleh
dimaafkan.
Tapi sekarang, siapa gila? Siapa naif?
Itulah dia Mahathir. Sangat licik berpolitik. Bab ini saya memang
akui dia hebat. Musuh politiknya ditundukkan dengan cara yang tidak
pernah terjangkau akal. Setakat sejarah Malaysia, belum ada ahli politik
yang boleh mengalahkan Mahathir.
Sampai sekarang, kelicikannya masih belum pudar. Orang susah
membaca langkah gerinya. Setiap kenyataannya diperhatikan. Setiap
tingkah buatnya diteliti. Dia sentiasa berubah-ubah. Membuatkan orang
sentiasa tertanya-tanya apa langkah politik Mahathir seterusnya?
Mari kita kaji serba sedikit tentang langkah politik beliau.
Dipecat Umno zaman Tunku
Pada PRU 1969, prestasi Umno dan parti komponen Perikatan MCA dan
MIC merudum teruk di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman. Mereka hanya
memperoleh 74 kerusi daripada 144 yang dipertandingkan. Kerajaan
terbentuk hasil majoriti yang sangat goyah iaitu 51 peratus sahaja.
Dengan kedudukan Umno itu, beliau bimbang Umno akan jatuh bila-bila
masa sahaja. Jika Umno jatuh, segala perancangan membina empayar
politik dalam Umno dan kerajaan akan musnah. Justeru dia harus berbuat
sesuatu.
Ketika itu Mahathir lantang mengkritik kepimpinan Tunku secara
terbuka, dan pernah mengutuskan surat mendesak Tunku melepaskan jawatan
sebagai PM. Tunku bertindak balas memecat Mahathir, tetapi Mahathir
menumpang pentas PAS bagi terus menyerang Tunku. Beliau turut berpakat
dengan Tun Abdul Razak.
Akhirnya atas tekanan yang dirancang pakatan Mahathir-Tun Razak,
Tunku terpaksa meletakkan jawatan. Tun Razak naik sebagai pengganti.
Setelah rancangan menurunkan Tunku berjaya, Mahathir memohon untuk
masuk kembali kepada Umno. Di bawah kepimpinan Tun Razak, dan dibantu
faktor penyertaan PAS dalam kerajaan, Umno kembali mendapat kepercayaan
dan menang besar untuk PRU 1974.
Rancangan menyingkir Hussein Onn
Tun Hussein Onn menaiki takhta Perdana Menteri (PM) pada tahun 1976
menggantikan Tun Abdul Razak yang meninggal dunia. Tun Hussein
sebenarnya lebih tua daripada Tun Abdul Razak, dan tidak pernah bermimpi
untuk menjadi PM. Namun kuasa tuhan, Tun Razak meninggal lebih awal dan
beliau berpeluang menjadi PM.
Ramai yang berpendapat bahawa Tun Hussein meletakkan jawatan kerana
masalah kesihatan. Tetapi sumber dalaman mengatakan ianya adalah
disebabkan tekanan kuat daripada Mahathir yang menjadi Timbalan Perdana
Menteri waktu itu. Beliau mahu menjadi PM, lalu menggunakan kes
pemecatan Menteri Besar Selangor, Harun Idris yang terlibat dengan
rasuah sebagai isu untuk menjatuhkan Hussein Onn.
Pada tahun 1981, Tun Hussein meletak jawatan dan Mahathir berjaya
mencapai cita-cita menjadi PM. Angkara Mahathir, Tun Hussein direkodkan
sebagai PM paling singkat dalam sejarah.
Namun Tun Hussein dan Tunku Abdul Rahman tidak membiarkan Mahathir
begitu sahaja. Pada tahun 1987, mereka bersama Team B diketuai Tengku
Razaleigh Hamzah menentang Mahathir dalam pemilihan Umno. Team ini
mendapat sokongan yang kuat diperingkat akar umbi Umno dan diyakini
mampu mengalahkan Team A.
Umno diharamkan, Ketua Hakim dipecat
Mahathir sanggup melakukan apa sahaja bagi mempertahankan
kedudukannya. Dengan memanipulasi proses pemilihan, Team A yang dipimpin
Mahathir menang dalam pemilihan Umno 1987. Semua Team B disingkirkan
dari kerajaan.
Team B yang dikenali sebagai Umno 11 membuat aduan penipuan
Mahathir dalam pemilihan yang akhirnya membawa kepada pengharaman Umno
tahun 1988. Mahathir terus menubuhkan Umno Baru menggunakan logo,
bendera, aset dan Perlembagaan Umno lama. Dengan Umno Baru, kuasa
Mahathir semakin kukuh.
Tunku dan Tun cuba menubuhkan Umno Malaysia, tetapi dibatalkan oleh
Mahathir dengan penubuhan Umno Baru. Tidak berpuashati, mereka
menubuhkan pula parti Melayu Semangat 46, mengambil nama sempena
penubuhan Umno 1946. Tetapi Semangat 46 gagal menyaingi politik Mahathir
dan akhirnya akur untuk masuk Umno Baru.
Mereka sebelum itu cuba membuat rayuan ke mahkamah soal pengharaman
Umno dan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas telah melantik panel hakim
untuk meneliti kes ini. Malangnya Mahathir menggunakan kuasa untuk
menggantung, seterusnya memecat Tun Salleh Abas daripada jawatan,
menyebabkan rayuan itu tidak dibicarakan. Demi kuasa, Mahathir sanggup
mencabar demokrasi negara dengan campur tangan politik terhadap
institusi kehakiman.
Keluar Umno zaman Pak Lah
PRU 2008 memperlihatkan BN berada pada prestasi terburuk apabila
kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan gagal mempertahankan
lima negeri. Mahathir merasakan jika dibiarkan berlarutan, Umno pasti
akan kecundang dalam PRU seterusnya.
Jika Umno jatuh, Mahathir juga akan beroleh sakit. Banyak kes-kes
beliau akan diheret ke muka pengadilan dan empayar keluarganya hancur.
Justeru ia tidak boleh dibiarkan.
Mahathir mula menyerang kepimpinan Tun Abdullah Badawi secara
terbuka. Kemuncaknya, Mahathir mengisytiharkan diri keluar daripada
Umno. Beliau terus menyerang Tun Abdullah menyebabkan ahli Umno mula
hilang kepercayaan pada PM itu.
Akhirnya Tun Abdullah mengalah. Beliau meletakkan jawatan dan
digantikan oleh Najib. Itu merupakan rancangan Mahathir kerana Najib
merupakan orang kepercayaan beliau pada waktu itu.
Turunnya Tun Abdullah bermakna misi menyelamatkan Umno berjaya. Beliau pun mengisytiharkan diri kembali menyertai Umno.
Ulang perangai di zaman Najib
Mahathir menjadi antara juru kempen
kuat BN dalam PRU13. Tetapi keputusan, BN di bawah kepimpinan Najib
tidak berjaya memulihkan sokongan kepada Umno. Malah majoriti semakin
menurun.
Mahathir terpaksa melakukan sesuatu demi menyelamatkan Umno. Najib tidak mampu membawa Umno ke depan. Jadi Najib mesti ditukar.
Mahathir menggunakan taktik sama terhadap Tunku Abdul Rahman dan
Tun Abdullah, dengan mengkritik kepimpinan Najib. Kemuncaknya, Mahathir
keluar daripada Umno.
Rancangan tidak menjadi
Mahathir menjangkakan tindakan beliau itu bakal menjadi tekanan
buat Najib supaya turun. Malangnya perkara tersebut tidak berlaku. Najib
mengambil langkah mencantas orang-orang Mahathir di dalam Umno termasuk
kroni-kroninya yang selama ini menjadi penyumbang dana Umno.
Mahathir tidak mengalah. Beliau tubuh parti baru. Tarik seberapa
ramai ahli Umno untuk bersamanya. Beliau cuba berpakat dengan
pembangkang, untuk terus memberi tekanan kepada Najib supaya mendengar
kata-katanya, atau ditumbangkan dalam PRU.
Tetapi Mahathir gagal mencapai apa yang dikehendaki. Pertama kerana
Najib tidak mahu menurut kehendaknya. Kedua, kerana PAS tidak mahu
menjadi buah caturnya lagi sebagaimana pernah berlaku zaman beliau
berkrisis dengan Tunku Abdul Rahman dahulu.
Yang lebih memilukan, semua kes-kes lama beliau dan orang-orangnya
dibongkar kembali. Ini membuatkan orang-orangnya takut bertindak ke atas
Najib untuk menjaga periuk nasi.
Kuburkan Umno
Setelah tidak ada jalan untuk membuat Najib berundur, Mahathir
akhirnya tekad untuk menumbangkan Umno dan BN. Jika bahtera BN sudah
tidak boleh diselamatkan, baiklah ia dikuburkan terus. Yang penting dia
segera membina bahtera lain yang bakal menggantikan Umno. Dengan cara
itu, empayarnya akan terus selamat. Khazanah Mokhzani, Mukhriz, Marina
dan Mirzan perlu dilindungi.
Beliau sanggup buat Umno diharamkan dulu. Lalu apa yang boleh menghalangnya untuk beliau kuburkan Umno?
Strategi memperbodohkan PH
Atas kelicikannya, Mahathir berjaya memperdaya pemimpin PH untuk
menerimanya. Pemimpin yang dulunya bermatian melawan beliau sampai
meringkuk di penjara, lebam biji mata dan tempang dibalun FRU kini boleh
mencium kaki beliau. Segala kesalahannya sepanjang memerintah sudah
dibersihkan tanpa perlu membayar balik ganti ruginya.
Kemuncak kehebatan beliau memperbodohkan penentangnya dahulu adalah, beliau diterima untuk menjadi PM semula selepas ini.
Namun perkiraannya silap. Disangkakan penglibatannya dalam PH boleh
melemahkan sokongan kepada BN. Rupanya makin memperkuatkan BN pula.
Kalangan sosialis seperti PSM menolak beliau sehingga sanggup melawan PH
dalam PRU nant. Non-Muslim pula semakin meninggalkan DAP kerana
bersekongkol dengan Mahathir, selain isu-isu kegagalan pentadbiran dan
salah laku pemimpinnya. MCA pula yang semakin pulih.
PAS masih tegas dengan Gagasan Sejahtera. Tidak mahu tertipu dengan
rancangan Mahathir, selain tidak mahu berkompromi dengan kepentingan
Islam.
Nampak gaya, PH tidak mampu ke depan. PAS pula yang bakal mengambil
manfaat. BN tidak terjejas. DAP mungkin beroleh keuntungan, untuk
menarik sedikit lagi sokongan Melayu di beberapa kawasan Parlimen bagi
menambah bilangan kerusi mereka. Itupun terancam dengan gerak kerja MCA
yang semakin proaktif sekarang.
Kembali kepada Umno
Rancangan terakhir Mahathir mungkin berunding kembali dengan Umno.
Jika parti itu dapat tawarkan kedudukan yang baik untuk anaknya Mukhriz
di jawatan tertinggi kerajaan, itu sudah cukup daripada terus lenyap
dalam pertarungan politik sekarang.
Jawatan Timbalan Perdana Menteri 2 pun sudah memadai. Tapi kalau
terdesak, cukup untuk minta segala kes beliau yang dalam siasatan
dilupuskan.
Tak mungkin Mahathir akan berada bersama parti yang berisiko untuk
kalah. Beliau tidak mahu karier politiknya berakhir dengan cara yang
memalukan. Bersama PAS, tak mungkin dapat jadi pemimpin. Justeru lebih
baik beliau kembali kepada Umno sahaja.
Dengan menawarkan beberapa syarat, tentu sekali Umno akan tertarik
dengan tawaran Mahathir. Inilah peluang mereka untuk melenyapkan PH.
DAP, PKR dan PAN telah mengangkat Mahathir terlalu tinggi, lebih tinggi
daripada Anwar, Mat Sabu dan Lim Kit Siang sendiri. Jika Mahathir
kembali kepada Umno, habis parti-parti itu nak menjawab pada penyokong
PH yang sudah menjadi peminat fanatik Mahathir.
Tidak mustahil sebelum pilihan raya, Mahathir buat tindakan pelik
menyertai Umno kembali. Bermain dengan Mahathir, kita mesti berfikir
jauh ke depan. Tak boleh fikir selapis sahaja. Beliau sangat licik dan
penuh helah.
Sebagaimana saya katakan di awal tulisan, jangan cepat melabel
telahan ini sebagai tidak masuk akal. Dalam politik segalanya masuk
akal. Yang penting jangan terlalu naif, nanti hilang akal pula. Baca
sejarah, manfaatkan akal sebaiknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan