Selasa, 16 Mei 2017

Ting dialu-alukan saman saya, kata Wong

 
Menteri Kewangan II Sarawak menegaskan pihak berkuasa Australia mengisytiharkan bekas wakil rakyat DAP, Ting muflis.


Wong-Soon-Ko_ting-tiong_600 

KUCHING: Menteri Kewangan II Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh akan mencabar sebarang saman fitnah terhadapnya oleh wakil rakyat DAP yang dipecat, Dr Ting Tiong Choon, yang dituduh muflis.

“Dia dialu-alukan dan saya akan bertemu beliau di mahkamah,” kata Wong kepada FMT hari ini.

Jumaat lepas, Dewan Undangan Negeri melucutkan Ting sebagai Adun Pujut melalui usul yang dibentangkan Wong atas alasan Ting pernah memegang kewarganegaraan Australia.

Ting kemudian mengakui dirinya pernah memperoleh kewarganegaraan Australia tetapi melepaskannya pada April 2016 dan hanya mengekalkan kewarganegaraan Malaysia.

Semasa membentangkan usul itu, Wong menegaskan Ting pernah diisytiharkan muflis di Australia pada 2012.

Wong merujuk kepada nama Ting yang disenaraikan dalam indeks insolvensi Pihak Berkuasa Keselamatan Kewangan Australia, tetapi DAP berkata Wong salah menyamakan insolvensi dengan kebankrapan.

Ditanya samada ada Ting perlu dilucutkan kewarganegaraan Malaysia, Wong memberitahu pemberita perkara itu diserahkan kepada mahkamah.

“Saya baru sahaja mendapatkan dokumen rasmi Australia yang melaporkan dia disahkan tak solven tetapi juga muflis,” katanya.

“Jika dia tidak berpuas hati, dia boleh mengajukan soalan kepada pihak berkuasa Australia. Jangan tanya saya, kerana saya dapat bahan ini daripada pihak berkuasa Australia.”

Ketika ditanya bagaimana perasaan berdepan tindakan saman, Wong menjawab: “Tiada apa yang saya mampu buat. Dia boleh menggunakan hak demokrasi untuk saman saya.”

Tiada ulasan: