MERUJUK berita akhbar Sinar Harian bertarikh 15
Mei 2017 yang menyebut bahawa seramai 40 orang ahli PAS Cawangan Kg
Perik Mukim Kurung Hitam telah menyerahkan borang menyertai PAN kepada
Dr Hatta Ramli dalam suatu majlis ceramah yang diadakan di situ, PAS
Kawasan Padang Terap menegaskan bahawa PAN sanggup menipu rakyat demi
meraih sokongan dan menjadi popular.
Serangan bertalu-talu PAN terhadap PAS mutakhir ini mengambarkan
bahawa parti itu tiada halatuju yang jelas dan sangat bertentangan
dengan slogan yang sering dilaungkan iaitu Islam rahmat bagi sekalian
alam.
PAN sudah kehabisan modal dan ketandusan isu untuk menyambung nyawa
dalam dunia politik apabila menjadikan PAS dan ahli-ahlinya sebagai
sasaran serangan mereka. Mungkin kerana tidak ada sambutan rakyat,
terlalu hampir PRU14 dan terdesak meraih sokongan rakyat dengan keahlian
PAN di daerah Padang yang terlalu sedikit, mereka terpaksa bertindak
berbohong mengatakan 40 ahli PAS Kg Perik menyertai mereka.
PAS Kawasan Padang Terap menegaskan tiada ahli-ahli parti seramai 40
orang dari cawangan Kg Perik keluar parti dan menyertai PAN. Kami
mencabar pihak PAN mengeluarkan senarai nama 40 orang ahli PAS tersebut
kepada umum jika mereka ada sedikit maruah sebagai orang Islam yang tahu
soal dosa dan pahala.
PAS Kawasan Padang Terap terus menjadi pilihan rakyat dengan menjadi
satu-satunya parti Islam yang terus konsisten memperjuangkan nasib
rakyat dan agama suci Islam. Isu bandaraya getah yang dijanjikan kepada
penduduk Padang Terap oleh BN semenjak PRU yang lepas, isu bekalan air,
isu pendapatan dan beban kos sara hidup rakyat, isu kebajikan rakyat
antara agenda yang menjadi keutamaan PAS Kawasan Padang Terap sebagai
sebuah parti yang tidak hanya bergerak melalui politik, tetapi
menjadikan pendidikan, dakwah dan kebajikan sebagai teras agenda
perjuangan.
* USTAZ MOHD AZAM ABD AZIZ ,YANG DIPERTUA PAS KAWASAN PADANG TERAP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan