MALAYSIAKINI
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini mendakwa Umno, termasuk
ibupejabat dan beberapa bahagian, serta parti-parti komponen BN,
menerima sejumlah RM10.02 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak.
Rafizi mendakwa wang yang disalurkan oleh Najib itu adalah dana daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Dakwaannya itu dibuat berdasarkan dokumen siasatan yang bocor yang kemudiannya dimuat naik di sprminsider.blogspot.com, tetapi disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
SRC International kemudian diambil alih oleh kementerian kewangan yang diterajui oleh Najib, pada tahun 2012.
Rafizi, dalam satu kenyataan hari ini, mendakwa transaksi berlaku di antara 22 Julai 2014 dan 3 Mac 2015.
Beliau menyenaraikan wang yang didakwanya disalurkan daripada akaun peribadi perdana menteri seperti berikut:
22 Julai 2014 - RM170,000 kepada BN
Bandar Tun Razak
22 Julai 2014 - RM1.5 juta kepada ibu pejabat Umno
24 Jul 2014 - RM1 juta kepada Umno Pulau Pinang
26 Ogos 2014 - RM5 juta kepada ibu pejabat Umno
Feb 17, 2015 - RM1 juta kepada Upko
17 Feb, 2015 - RM50,000 kepada Ketua Umno Padang Serai, Asmadi Talib
Feb 26, 2015 - RM1 juta kepada Umno Pulau Pinang
3 Mac 2015 - RM300,000 kepada Umno Johor Bahru
“Saya dengan ini mendesak supaya semua yang dinamakan di atas memberi
maklumbalas mengenai dokumen ini dan membersihkan nama mereka.
“Saya juga menggesa supaya mereka memulangkan kembali wang ini kepada
SRC, terutamanya Upko yang berisiko tinggi berkemungkinan besar
menerima wang Tabung Haji untuk perbelanjaannya; jika mereka tidak dapat
membuktikan mereka tidak menerima wang ini seperti yang didedahkan
dokumen,” katanya.
Pada
3 Mei lalu, Rafizi membuat dakwaan sama berdasarkan blog sama, dengan
mendakwa pelbagai organisasi berkaitan media, syarikat dan individu
termasuk seorang pembantu kepada perdana menteri, menerima dana SRC
daripada Najib.
Antara lebih daripada 30 penerima yang dinyatakan di dalam dokumen
berkenaan, termasuk kedai barangan kemas De Grisogono di Arzachena,
Itali, yang kononnya menerima 10 bayaran berasingan yang berjumlah
763.500 Euro (RM3,595,916.53 berdasarkan kadar pertukaran semasa) pada
tahun 2014.
Ketika dihubungi kemudian, pemimpin Padang Serai, Asmadi menafikan dakwaan terbaru Rafizi itu.
Naib Presiden Upko Datuk Marcus Mojigoh juga menafikan menerima wang
daripada perdana menteri, tetapi berkata adalah "normal" untuk parti
menerima dana.
Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan ulasan daripada mereka yang lain yang dinamakan itu.
Najib dipercayai menerima sehingga RM74 juta daripada dana SRC International pada tahun 2014.
Sebahagian daripada wang berkenaan yang berjumlah RM32 juta,
diperincikan menerusi dokumen yang dipegang oleh Peguam Negara Tan Sri
Mohamed Apandi Ali apabila beliau membersihkan Najib daripada sebarang
salah laku pada Januari tahun lalu.
Mohamed
Apandi berkata Najib tidak tahu bahawa dana daripada SRC International
telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya dan berpendapat wang
itu sebahagian daripada deposit berbilion ringgit yang didakwa beliau
adalah sumbangan daripada ahli keluarga diraja Arab Saudi.
Najib juga menafikan menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.
Semalam, Mohamed Apandi enggan mengulas mengenai kesahihan kertas siasatan yang didakwa bocor berkenaan.
Beliau berkata SPRM akan mengemukakan siasatan SRC kepada Jabatan Peguam Negara dalam tempoh sebulan.
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan