Sabtu, 20 Mei 2017

Rafizi cabar KJ anjur sesi TN50 bersama pembangkang

MALAYSIAKINI



Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mencabar Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin untuk menganjurkan sesi ‘townhall’ dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama 300 wakil pembangkang.

Sambil mencadangkan sesi berkenaan disiarkan secara langsung di RTM, beliau berkata Khairy seharusnya berani berdepan dengan semua golongan rakyat dan bukan hanya jemputan
yang telah dipilih semata-mata.

“Saya jamin tidak akan ada sebarang peristiwa melempang dalam sesi itu.

“Sesi ini akan betul-betul memberi tumpuan kepada perbincangan masalah rakyat, bukan lakonan dan drama yang dicipta untuk melindungi imej seorang perdana menteri yang semakin ditolak rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Semasa sesi dialog TN50 bersama ‘pengiat seni’ pada malam Rabu lalu di Putrajaya, penerbit filem Datuk David Teo ditampar oleh pelawak Sulaiman Yassin di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sulaiman, yang lebih dikenali sebagai Mat Over, mendakwa bahawa beliau mahu mengajar Teo supaya tidak biadap, tetapi Teo menafikan beliau bersikap kurang ajar kepada perdana menteri.

Kedua-dua mereka, kemudiannya berjabat tangan atas permintaan perdana menteri pada malam itu juga.

Sementara itu, Rafizi juga mempersoalkan peruntukan keseluruhan untuk menjalankan kempen TN50, termasuk penganjuran sesi ‘townhall’, pengiklanan dan lain-lain.

“Berapa yang telah dibelanjakan setakat ini dan berapa yang akan dibelanjakan selepas ini?

“Peruntukan kementerian mana yang telah digunakan untuk menganjurkan sesi propaganda ini?” soalnya.
Pemimpin PKR itu turut mendakwa jika

Najib berani berdepan dengan ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan dengan selalu hadir menjawab dan berbahas di Parlimen, tidak perlulah wang negara dibazirkan untuk menganjurkan majlis dialog seperti TN50 ini.

Sambil menyenaraikan beberapa soalan untuk Khairy, Rafizi berkata ini adalah sebahagian daripada isu-isu yang rakyat Malaysia mahu kerajaan tangani.

“Kebanjiran pekerja asing sehinggakan jumlah pekerja asing sudah melebihi jumlah rakyat Malaysia berbangsa India dan dijangka mengatasi jumlah rakyat Malaysia berbangsa Cina menjelang 2034.

“Kadar kenaikan gaji yang rendah yang dinikmati oleh rakyat Malaysia iaitu pada purata sekitar 2 peratus sahaja dalam dua tahun kebelakangan ini (setelah ditolak inflasi).

“Pekerja Malaysia juga hanya mendapat 34 peratus dari nilai ekonomi yang mereka jana (yang dipulangkan sebagai gaji kepada pekerja), berbanding pekerja di negara-negara lain yang mendapat pulangan gaji yang jauh lebih tinggi.

“Apa pendirian Khairy mengenai perkara ini dan apa penyelesaian beliau?" soalnya.

Rafizi juga mahu Khairy selaku menteri yang diberi tanggungjawab melaksanakan kempen TN50 menjelaskan kenaikan harga yang terus meningkat akibat dasar-dasar BN seperti pelaksanaan GST, penghapusan subsidi dan pengapungan harga minyak mengikut pasaran tanpa subsidi

Tiada ulasan: