MENJELANG 13 Mei 2017 baru-baru ni, maka genaplah 48 tahun
bercetusnya Peristiwa 13 Mei yang rata-rata sejarawan mencatatkannya
sebagai tragedi paling hitam dalam sejarah Malaysia. Umum mengetahui apa
itu 13 Mei dan umum juga mengetahui bahawa ianya adalah satu isu yang
sensitif untuk diperkatakan. Namun begitu, pada kali ini apa yang ingin
diketengahkan adalah sebab-sebab asas yang membawa tercetusnya Peristiwa
13 Mei dan perkara yang dapat kita pelajari daripada peristiwa tersebut
dalam menghadapai cabaran hari ini.
Abdul Rahman Ibrahim dalam bukunya 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur
telah mencatatkan bahawa tahun-tahun 1960-an adalah tahun yang mencabar
bagi Malaysia. Beberapa kejadian ketegangan antara kaum terutamanya
yang melibatkan Melayu dan Cina telah berlaku. Antaranya adalah yang
berlaku di Pulau Pangkor, Perak pada 1959, di Pulau Pinang pada tahun
1964 dan 1967 serta ketika berakhirnya Konfrontasi pada 1968 di mana
daripada 12 orang yang dijatuhkan hukuman mati sebagai pengkhianat, 10
daripadanya adalah berbangsa Cina. Tidak lupa juga pembentukan Malaysia
pada 1963 yang disusuli dengan terpisahnya Singapura dua tahun selepas
itu iaitu pada 1965.
Ketegangan-ketegangan
yang berlaku secara asasnya berdasarkan pada isu-isu bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan dan hak-hak keistimewaan Melayu yang dilihat
oleh orang bukan Melayu sebagai satu bentuk diskriminasi. Bagi pihak
bangsa Melayu sendiri pula, ketidakpuas hati dan kekecewaan muncul
apabila pemerintahan negara dilihat gagal membela dan menaikkan taraf
hidup orang Melayu walaupun setelah 12 tahun merdeka. Taraf ekonomi dan
pendidikan bangsa Melayu masih jauh ketinggalan berbanding dengan bangsa
Cina terutamanya.
Ketegangan
makin memuncak pada tahun 1969 apabila orang bukan Melayu makin berani
mempersoalkan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan juga
hak-hak keistimewaan Melayu terutamanya oleh ahli-ahli politik di dalam
kempen pilihan raya. Kelantangan ini kemudiannya dibalas oleh
pemimpin-pemimpin Melayu. Surat-surat khabar dan risalah-risalah
digunakan sebagai salah satu medium untuk menyemarakkan lagi isu-isu
tersebut.
Bagi orang
Melayu, kelantangan bukan Melayu dalam mengkritik isu bahasa dan hak
keistimewaan Melayu dilihat sebagai satu perbuatan pengkhianatan
terhadap ‘Kontrak Sosial’ yang telah dipersetujui bersama berdasarkan
perbincangan pemimpin-pemimpin UMNO, MCA dan MIC yang telah membentuk
Parti Perikatan. Perkara ini menyebabkan orang Melayu mula meragui
kesetiaan orang bukan Melayu terhadap negara. Hal ini kerana ‘Kontrak
Sosial’ telah dipersetujui atas dasar imbal balik antara kaum; orang
bukan Melayu diberikan kerakyatan (baca: kuasa politik) dan sebagai
balasannya, beberapa perkara berkaitan dengan kepentingan orang Melayu
dipelihara. Nik Safiah Karim mendefinisikan ‘Kontrak Sosial’ sebagai “Kesepakatan
yang diabadikan oleh sejarah mengenai norma hidup bersama pelbagai kaum
dalam negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Persepakatan
itu dicapai secara sukarela melalui perundingan dan dianggap binding
untuk generasi seterusnya”.
Secara asasnya, ‘Kontrak Sosial’ merangkumi lima perkara:
- Mengekalkan kedudukan Raja-raja Melayu sebagai Raja berdaulat dalam negara demokrasi berparlimen.
- Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini
- Memberi kerakyatan kepada orang bukan Melayu berdasarkan jus soli.
- Islam sebagai agama persekutuan tetapi memberi kebebasan kepada penganut agama lain menjalankan upacara keagamaan dan kebudayaan masing-masing.
- Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tetapi bangsa lain diberikan kebebasan peribadi untuk menggunakan bahasa kaum masing-masing.
Memang
diakui perkataan ‘kontrak sosial’ secara literal tidak wujud di dalam
Perlembagaan. Namun begitu, hal-hal yang telah dipersetujui di atas
telah dimasukkan ke dalam Perlembagaan. Perkara 1 termaktub dalam
Artikel 32 hingga 38 Perlembagaan Malaysia. Perkara 2 termaktub dalam
Artikel 153, perkara 3 termaktub antaranya dalam Artikel 14 dan 19,
perkara 4 ternyata di dalam Artikel 3 dan 11, dan akhir sekali perkara 5
dinyatakan di dalam Artikel 152.
Peristiwa 13 Mei bukanlah berlaku secara tiba-tiba (spontaneously) hanya kerana keputusan pilihan raya seperti yang didakwa oleh Kua Kia Soong dalam bukunya May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969
(ironinya, beliau mendakwa dakwaan itu adalah apa yang dikatakan dalam
versi rasmi. Namun jika dilihat dalam laporan dan buku yang ada mengenai
13 Mei, kebanyakannya mengetengahkan 13 Mei sebagai kemuncak kepada
ketegangan kaum yang telah berlaku sepanjang dekad 1960-an).
Jika
dilihat pada kronologi di bawah, 13 Mei adalah kemuncak kepada
ketegangan kaum yang berlaku. Apabila rasa saling menghormati hilang,
apabila kesepakatan di dalam ‘Kontrak Sosial’ mula dicabar, maka
ketegangan yang pada mulanya berlaku secara kecil-kecilan akhirnya
membarah membawa kepada tragedi yang besar. Inilah pengajaran yang patut
kita ambil dan jadikan iktibar. Sebagai satu negara yang berbilang
kaum, agama dan budaya, maka rasa saling menghormati itu penting dan
kesepakatan yang telah dicapai dalam ‘Kontrak Sosial’ perlulah dihormati
dan dipelihara bagi menjamin keharmonian. Jangan sesekali cuba untuk
melakukan sebarang provokasi terhadap mana-mana pihak. Jika terdapat
sebarang kelompongan dan ketidakpuasan hati, maka seharusnyalah perkara
tersebut diselesaikan dengan secara rundingan.
Kronologi Ringkas Peristiwa 13 Mei 1969
24 April
1969 – Petugas UMNO Pulau Pinang, Encik Kasim Omar telah
diserang dan dibunuh. Namun begitu, untuk mengelakkan sebarang
ketegangan atau rusuhan, beliau telah dikebumikan secara tertutup.
4 Mei
1969 – Seorang Cina, Lim Soon Seng, telah meninggal
setelah cedera dalam satu pergelutan dengan pihak polis. Beliau dan dua
rakannya ditemui sedang menconteng sesuatu di atas jalan raya dengan
cat.
9 Mei
1969 – Pihak keluarga mendiang dengan dibantu pihak
tertentu berkeras untuk membuat perarakan mayat beliau (seperti mana
kebiasaan dalam masyarakat Cina) dengan melalui jalan-jalan utama di
bandar Kuala Lumpur. Mereka ingkar dengan arahan pihak polis untuk
berarak di jalan-jalan yang agak jauh daripada bandar. Tindakan ini
dilihat sebagai sengaja ingin membesar-besarkan kematian beliau (berbeza
dengan cara pengkebumian mayat Encik Kasim Omar yang dilakukan secara
tertutup).
10 Mei 1969 – Hari mengundi untuk Pilihan Raya Umum 1969.
11 Mei
1969 – Keputusan piliharan raya diumumkan. DAP dan Gerakan
menang besar di Selangor, walaupun masih belum dapat membentuk
kerajaan. Kemenangan ini diraikan dengan perarakan yang disertai
provokasi menghina orang Melayu. Tindakan yang sama juga berlaku ketika
perarakan mayat pada 9 Mei.
12 Mei
1969 – Perarakan kemenangan yang disertai provokasi
terhadap Melayu masih diteruskan. Namun, kesabaran orang Melayu selama
ini (daripada 9 Mei membawa kepada 12 Mei) telah sampai hadnya yang
membawa kepada berkumpulnya mereka di rumah Menteri Besar Selangor di
Kampung Baru untuk merancang mengadakan perarakan balas pada malam
esoknya, iaitu 13 Mei. Perarakan balas ini dirancang untuk diadakan
secara aman untuk meraikan kemenangan UMNO di dalam pilihan raya seluruh
negara.
13 Mei
1969 – Ketika persiapan sedang dilakukan oleh orang Melayu
di Kampung Baru (dengan anggota polis kebanyakannya telah dikerahkan
untuk mengawal keadaan), tersebar khabar angin bahawa telah berlaku
pergaduhan antara orang Melayu dan Cina di Setapak; satu kawasan yang
tidak dijangka akan berlakunya ketegangan. Khabar angin dan
ketidaktentuan inilah akhirnya membawa kepada tercetusnya rusuhan besar
pada 13 Mei.
14 Mei 1969 – Darurat disiytiharkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
16 Mei
1969 – Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diketuai oleh
Tun Abdul Razak ditubuhkan bagi menggantikan Parlimen yang digantung
buat sementara waktu setelah darurat diisytiharkan.
*Ironinya,
Kua Kia Soong telah ‘memadam’ apa yang berlaku antara 9 hingga 12 Mei
di dalam bukunya. Episod di mana orang Melayu diprovokasi selama 3 hari
dan hanya dihadapi dengan penuh kesabaran telah ‘dipadam’ oleh beliau.
Beliau hanya memulakan episod beliau dengan perkumpulan orang Cina dan
Melayu selepas pilihan raya. Penceritaan buku beliau juga dilihat berat
sebelah kerana hanya menunjukkan bahawa orang Cina menjadi mangsa dan
mereka diserang tanpa apa-apa alasan yang kukuh oleh orang Melayu.
Rujukan:
Abd. Manaf Haji Ahmad, 2009. Kontrak Sosial. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Abdul Rahman Ibrahim, 2015. 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Legal Research Board, 2009. Federal Constitution (As at 20th June 2009). Petaling Jaya: International Law Book Services.
Kua Kia Soong, 2011. May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969: New Edition. Petaling Jaya: SUARAM.
Leon Comber, 2011. Peristiwa 13 Mei: Sejarah Perhubungan Melayu-Cina. Petaling Jaya: IBS Buku Sdn. Bhd.
Mohd Rizal Yaakop & Shamrahayu A. Aziz, 2014. Kontrak Sosial Perlembagaan Persekutuan 1957: Pengikat Jati Diri Bangsa Malaysia Merdeka. Kuala Lumpur: ITBM.
* Mohamad Hazizie Sulkafle,AJK Biro Antarabangsa dan Tamadun, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan