JAKARTA
– Dua letupan di stesen bas TransJakarta di Kampung Melayu, Jakarta
Timur, semalam yang mengorbankan lima orang, termasuk tiga anggota polis
dan mencederakan 10 yang lain, dilaporkan hasil daripada bom buatan
sendiri, kata polis.
Jurucakap
Polis Indonesia, Inspektor Jeneral Setyo Wasisto berkata, hasil siasatan
di tempat kejadian polis menemui resit pembelian periuk bertekanan
tinggi dalam poket seluar salah seorang daripada dua penyerang bunuh
diri itu.
“Dalam
siasatan awal di tempat kejadian, kami menjumpai resit dalam poket
seluar salah seorang penyerang bertarikh 22 Mei dari sebuah mini market
di Padalarang, Jawa Barat,” katanya, hari ini.
Serpihan bahan letupan yang berselerak di tempat kejadian juga menunjukkan penyerang menggunakan bom periuk bertekanan tinggi.
“Daripada
bahagian yang tertinggal, menunjukkan ia adalah bom periuk bertekanan
tinggi, sama dengan yang kami temui di Bandung,” katanya.
Walaupun,
siasatan lanjut masih dijalankan bagi mendapatkan maklumat lebih
terperinci kejadian jam 10 malam semalam, beliau mengesahkan bahawa
serangan itu dilakukan oleh dua individu di tempat dan masa yang
berbeza.
Tubuh penyerang juga hampir hancur, tetapi kedua-duanya adalah lelaki.
Identiti
kedua-duanya perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum mereka
dikaitkan dengan mana-mana pertubuhan pengganas atau militan. Polis
Indonesia bagaimanapun, tidak menolak kemungkinan militan IS ada kaitan
dalam serangan itu. – Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan