Sabtu, 20 Mei 2017

‘Pekerja asing layak kutip sampah sahaja’

Mohd Haizal Yatiran
Peserta, Fatin Syafawani Cik Osman pada Program Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Auditorium Elyas Omar, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI,
 

KUALA LUMPUR – “Aspirasi saya untuk TN50, agar warga asing yang bekerja dalam negara ini dikhaskan untuk kerja kutip sampah sahaja,”

Itu kata seorang peserta pada dialog Transformasi Nasional 50 (TN50) peringkat kawasan Bukit Bintang yang di Dewan Auditorium Alyas Omar, Perpustakaan Kuala Lumpur malam tadi.

Peserta yang mewakili Gerakan Belia 4B Pasar Seni, Fatin Syafawati Cik Osman, 24, berpendapat, peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat negara ini semakin mengecil berikutan kebanjiran pekerja asing yang tidak terkawal.

Hasil pemerhatiannya, pekerja asing yang mencari nafkah di negara ini bukan sahaja terdiri daripada buruh kasar malah ada yang menjadi majikan kepada rakyat tempatan.

Tambah Fatin Syafawati, perkara tersebut memberi kesan tidak sihat kepada rakyat negara ini memandangkan masih banyak keluhan daripada graduan yang gagal mendapat pekerjaan setelah tamat pengajian.

“Memandangkan negara kita ni bakal mencapai status negara maju, saya harap dapatlah kerajaan menyediakan peluang pekerjaan kepada para graduan kita, seiring dengan graduan yang ada.

“Memandangkan apa yang saya lihat, warga asing sekarang ni bukan saja bekerja dalam 3D, tapi ada yang jadi bos. Ini tidak adil kepada rakyat Malaysia sendiri, sedangkan ramai lagi graduan kita yang menganggur,” katanya.

Oleh itu, bagi memberi keadilan dalam aspek peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, pemantauan serta kawalan terhadap kemasukan serta penglibatan pekerja asing dalam mana-mana industri di negara ini.

Justeru, beliau yang bekerja sebagai pegawai eksekutif di salah sebuah organisasi tempatan itu mahu kerajaan mengehadkan warga asing yang bekerja di negara ini, untuk bekerja dalam bidang kerja Dirty, Difficult & Dangerous (3D) sahaja.

“Saya juga mengharapkan warga asing dapat dikawal. Maksudnya, warga asing boleh bekerja di negara kita, tapi dalam sektor (3D) sahaja, maksudnya yang kutip sampah, tukang sapu dan pembinaan. Dengan ini, dapat memberi peluang kerja kepada rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: