Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri
Khairuddin Abu Hassan menyarankan pucuk pimpinan parti itu
menyelesaikan segera kemelut dalaman yang melanda supaya lebih fokus
menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Ujarnya, sekiranya konflik tersebut segera ditangani, maka perjuangan
bersama Pakatan Harapan (PH) dapat diperkukuhkan secara menyeluruh.
"Saya berdoa supaya PPBM dapat selesaikan segala kemelut yang mereka
hadapi secepat mungkin agar kita dapat memberi fokus untuk terus
berjuang memenangi pilihanraya akan datang.
"Bagi pihak saya, saya tidak berhak untuk masuk campur isu-isu dalaman
parti PPBM namun sebagai seorang yang mendukung perjuangan PH saya
sebagai seorang penyokong kuat Tun M (Dr Mahathir).
"Saya ketika saya berada dalam parti PPBM dahulu, saya tidak tahulah
sama ada saudari masih ingat atau pun tidak, saya selalu berpesan kepada
kepimpinan tertinggi parti PPBM. Jangan jadikan parti PPBM ini sebagai
fotokopi kepada Umno," katanya ketika ditemubual Antarapos baru-baru
ini.
Dalam pada itu, Khairudin turut menafikan sekeras-kerasnya desas-desus
yang mengatakan bahawa beliau 'tidak sebulu' dengan Presiden PPBM, Tan
Sri Muhyiddin Yassin sehingga mendorongnya bertindak keluar parti.
"Sebenarnya itu satu kenyataan yang berteraskan kepada persepsi. Saya
dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah bermusuh dan saya tidak
pernah melakukan apa-apa kesalahan terhadap beliau. Beliau pun tidak
pernah melakukan apa-apa kesalahan kepada diri saya.
"Apa yang diperkatakan adalah satu unsur cuba melaga-lagakan kami untuk
pecahkan perpaduan kami. Pada hakikatnya pada realitinya saya dan Tan
Sri Muhyiddn Yassin masih lagi sahabat. Beliau adalah rakan perjuangan
Pakatan Harapan dan ini dan memberi erti juga beliau adalah rakan
perjuangan kepada diri saya," tambahnya.
PPBM baru-baru dilatari konflik dalaman yang menyaksikan beberapa
pemimpin parti itu bertindak keluar parti dan meletakkan jawatan.
Bulan lalu, salah seorang pengasasnya, Kamarulazman Habibur Rahman
bertindak keluar parti kerana mendakwa kecewa dengan hala tuju parti
yang terpesong, selain amalan 'kasta' dalam parti itu.
Terbaru, pada Selasa lalu, Exco Srikandi PPBM, Zulaiha Sidek mengambil
keputusan meletakkan jawatan kerana mendakwa sudah muak dengan kemelut
dalaman yang melanda parti.
Turut mengumumkan peletakan jawatan ialah Ketua Srikandi Penaja PPBM Bahagian Gopeng, Aflatuniah Md. Norani.
Malah baru-baru ini wujud pula desakan agar Muhyiddin meletakkan
jawatan sebagai presiden selepas berlakunya kepincangan dalaman parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan