SHAH ALAM: DAP Sarawak akan mengadakan mesyuarat hari ini berikutan pelucutan keanggotaan ADUN Pujut, Dr Ting Tiong Choon.
"Jawatankuasa Negeri (parti) akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi
membincangkan perkara tentang kehilangan kelayakan Ting sebagai wakil
yang dipilih," kata Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.
Terdahulu, Setiausaha DAP Sarawak Alan Ling Sie Kiong memaklumkan
pihaknya akan membawa ke mahkamah bagi mencabar kesahihan pelucutan
kelayakan Ting Tiong Choon oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak berhubung
dua kerakyatan.
Alan yang juga seorang peguam berkata satu injunksi akan difailkan
dahulu untuk membolehkan mahkamah membuat semakan kehakiman terhadap
keputusan oleh dewan undangan negeri.
Chieng Jen bagaimanapun hari ini tidak menyebut siapa yang akan
menyediakan khidmat nasihat undang-undang atau sama ada ahli Parlimen
dari kepimpinan kebangsaan parti itu akan terlibat.
Sidang DUN Sarawak pada Jumaat lalu sebulat suara bersetuju melucutkan
keanggotaan ADUN Pujut dari DAP, Dr Ting Tiong Choon selepas beliau
didakwa turut memiliki kewarganegaraan Australia.
Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, mengumumkan
keputusan itu selepas undian kepada usul terbabit dijalankan dalam
kalangan ADUN, menyaksikan 70 menyokong manakala 10 menentangnya.
Susulan keputusan itu, PRK dijangka diadakan di kawasan berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan