Selasa, 16 Mei 2017

Kementerian Pendidikan diminta fahami keluh kesah guru ‘duka lara’

 
Zahid berkata 9,000 orang yang memohon untuk berpindah tempat mengajar sudah 'dicantumkan' semula dengan keluarga mereka setakat ini.


guru-zahid


JOHOR BAHRU: Kementerian pendidikan diminta untuk terus mengambil berat terhadap guru yang memohon untuk bertukar tempat mengajar supaya berdekatan dengan keluarga mereka, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri memahami keluh kesah guru yang terpaksa berjauhan dengan keluarga kerana ia bukan sahaja menjejaskan emosi bahkan produktiviti kerjaya mereka.

“Bagaimana produktiviti akan meningkat kalau kita terpisah emosi dan minda daripada keluarga atau orang yang kita kasihi.

“Kepedulian terhadap keperluan guru perlu difahami dan saya yakin, kementerian pendidikan dan menterinya ikhlas terhadap perkara ini,” katanya berucap merasmikan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-46 2017 di Kompleks Sukan Educity, di sini hari ini.

Zahid berkata terdapat 22,000 guru “duka lara” memohon untuk berpindah tempat mengajar dengan 9,000 orang daripadanya sudah “dicantumkan” semula dengan keluarga mereka setakat ini.

Selain masalah guru “duka lara”, beliau berkata kebajikan kumpulan guru yang berumur 40 tahun ke bawah juga merupakan perkara yang perlu diambil peduli.

Menurut timbalan perdana menteri, sebagai seorang yang pernah menjadi guru kelas tambahan dan kelas malam serta merupakan anak guru, beliau amat memahami tugas golongan tersebut.

“Kita harus melihat golongan 48.7% guru di bawah 40 tahun ini. Perasaan mereka harus diam
bil peduli, minda mereka harus difahami, kementerian harus buka mata,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid turut menyokong kementerian pendidikan yang meminta Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) mempercepatkan kelulusan menaikkan gred jawatan sebahagian pengarah pendidikan negeri daripada Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C ke JUSA B.

Menurut Zahid, keprihatinan sama juga perlu diberikan kepada pegawai pendidikan daerah, pengetua dan guru besar serta guru penolong kanan.

Pada majlis berkenaan, Zahid turut menyampaikan Anugerah Ikon Guru Inovatif Kebangsaan kepada guru Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur, Zainuddin Zakaria.

Bekas pengetua Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan, Khuzaimah Sulaiman pula dianugerahkan Tokoh Guru Kebangsaan 2017 manakala bekas timbalan ketua pengarah pelajaran Datuk Sufa’at Tumin sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan.


Tiada ulasan: